KUCHING: Sarawak dan Sabah akan kekal sebagai antara 13 negeri di Malaysia jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Ini peringatan diberikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen sambil menegaskan bahawa pindaan yang dicadangkan itu adalah bertujuan memulihkan status Sarawak dan Sabah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Stampin dan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menambah ‘ego besar’ pemimpin dan Ahli Parlimen GPS amnya dalam membantah RUU berkenaan boleh menyebabkan status Sarawak dan Sabah tidak dapat dipulihkan.
“Jika RUU ini ditolak, Sarawak akan kekal sebagai salah satu daripada 13 negeri di Malaysia.
“Oleh sebab itu, kita tidak boleh terlepas peluang untuk meminda Perlembagaan ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.
Justeru, Chong merayu kepada Ahli Parlimen GPS untuk menyokong RUU berkenaan yang akan dibacakan kali kedua di Parlimen pada Selasa nanti.
Malah beliau menegaskan Sarawak tidak akan hilang apa-apa jika menyokong RUU berkenaan kerana pindaan yang dicadangkan bertujuan memulihkan status Sarawak dan Sabah.
“Pindaan perlembagaan ini bukanlah yang terakhir kerana rundingan dan perbincangan tentang hak-hak lain sedang berjalan.
“Ini adalah permulaan untuk memulihkan struktur dan rangka kerja kesemua 13 negeri di Malaysia kembali ke kedudukan asal dalam Perlembagaan Persekutuan tahun 1963,” katanya.