ARTIKEL

Gambar Fail

Sarawak kekal negeri paling rendah kepadatan penduduk di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kekal sebagai negeri paling rendah kepadatan penduduk di Malaysia dengan hanya 20 orang bagi setiap kilometer persegi pada 2026, meskipun jumlah penduduk negara dianggarkan meningkat kepada 34.4 juta orang.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2026 yang diterbitkan hari ini, jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding purata nasional iaitu 104 orang bagi setiap kilometer persegi, berbanding 103 orang pada tahun sebelumnya.

“Selepas Sarawak, Pahang merekodkan kepadatan penduduk kedua terendah dengan 47 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti Sabah (51 orang).

“Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kekal mencatat kepadatan penduduk tertinggi iaitu 8,574 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti Wilayah Persekutuan Putrajaya (2,466 orang) dan Pulau Pinang (1,562 orang),” menurut laporan itu.

Secara keseluruhan, jumlah penduduk Sarawak adalah sekitar 2.5 juta orang. Komposisi demografi negeri ini terus mengekalkan keunikan identitinya apabila pecahan warganegara didominasi oleh kumpulan Bumiputera Bukan Melayu termasuk etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melanau yang membentuk kelompok terbesar dengan anggaran lebih 1.22 juta orang.

Ini diikuti oleh etnik Melayu sekitar 608,000 orang dan komuniti Cina seramai 558,000 orang. Kepelbagaian ini menjadikan Sarawak sebagai wilayah yang memiliki lebih daripada 40 kumpulan subetnik berbeza dengan warisan budaya, bahasa serta pegangan agama tersendiri.

DOSM turut memaklumkan jumlah penduduk Malaysia meningkat daripada 34.2 juta orang pada 2025 kepada 34.4 juta orang pada 2026, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus.

“Penduduk warganegara turut meningkat daripada 30.8 juta kepada 31.0 juta orang, dengan mengekalkan kadar pertumbuhan 0.6 peratus.

“Manakala pertumbuhan penduduk bukan warganegara terus mencatat kadar negatif iaitu -0.2 peratus pada 2026 berbanding -0.5 peratus pada tahun sebelumnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Terengganu mencatat kadar pertumbuhan penduduk tertinggi melebihi paras nasional iaitu 1.2 peratus, diikuti Kelantan (1.0 peratus), Selangor (0.6 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.6 peratus) dan Pahang (0.6 peratus).

“Selangor terus menjadi negeri paling ramai penduduk dengan menyumbang 21.7 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (11.0 peratus).

“Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya kekal mencatat peratusan penduduk paling rendah masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus,” menurut laporan tersebut.

DOSM turut memaklumkan bilangan penduduk lelaki meningkat daripada 17.9 juta kepada 18.0 juta orang, manakala perempuan bertambah daripada 16.3 juta kepada 16.4 juta orang, dengan nisbah jantina keseluruhan kekal pada 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Nisbah jantina bagi penduduk warganegara kekal pada 102 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala bagi bukan warganegara ialah 227 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan dua negeri yang merekodkan bilangan perempuan melebihi lelaki dengan nisbah masing-masing 99 dan 97 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula mencatat nisbah jantina tertinggi iaitu 117 lelaki bagi setiap 100 perempuan, diikuti Johor (115), Pahang (114) dan Selangor (114),” tambah laporan itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU