ARTIKEL

Sarawak Kekal Tumpuan Utama Dalam Agenda Pembangunan Kerajaan MADANI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kekal sebagai tumpuan utama dalam agenda pembangunan Kerajaan MADANI melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa ekonomi negara.

Langkah yang meletakkan Sarawak sebagai kuasa masa depan Malaysia itu diperkasa melalui pelbagai inisiatif pelaburan strategik, pembangunan ekonomi yang inklusif serta pewujudan peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu juga bagi meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk pelaburan hijau Asia Pasifik.

“Sarawak berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai hab tenaga masa depan negara menerusi pelaksanaan projek hidrogen hijau yang disifatkan antara inisiatif terunggul di rantau Asia.

“Justeru, komitmen penuh Kerajaan MADANI dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengurusan sumber minyak yang adil komited dilaksanakan bagi memastikan manfaat ekonomi dapat disalurkan terus kepada rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Menurut beliau, setiap inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan adalah bertujuan membina Sarawak yang lebih maju, mampan dan sejahtera demi manfaat masa kini serta generasi akan datang.

“Transformasi nyata untuk rakyat Sarawak sedang berjalan dan kita semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini,” ujarnya.

Dalam hantaran sama yang berkongsi infografik memfokuskan kejayaan MADANI untuk Sarawak 2025 itu, beliau turut berkata pelaburan dalam sektor logistik antarabangsa, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) turut memperkukuh kedudukan wilayah ini sebagai pintu masuk pelaburan hijau Asia Pasifik.

“Projek hidrogen hijau wilayah itu turut diiktiraf sebagai peneraju Asia sekali gus meletakkannya sebagai kuasa tenaga masa depan Malaysia,” tegasnya.

Mengulas lanjut ujarnya, antara perkembangan utama yang diketengahkan termasuk projek Solar Terapung Batang Ai bernilai RM184 juta, pelaburan hidrogen hijau dari Jepun, Korea Selatan dan Eropah, pelaburan logistik oleh DHL, serta peranan yang semakin meningkat dalam rangkaian bekalan dan pelaburan digital global.

Menurutnya, projek-projek tenaga hijau tersebut mewujudkan ribuan peluang pekerjaan teknikal berkemahiran tinggi, manakala pelaburan dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) membuka laluan kepada melahirkan tenaga dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta jurutera.

Pada masa yang sama, beliau berkata pembangunan hab metanol dan hidrogen turut memperkukuh asas industri berat Sarawak, di samping peluasan sektor logistik dan aeroangkasa di sepanjang koridor Kuching–Bintulu–Miri.

“Kesemua kemajuan industri ini akan mewujudkan peluang yang lebih luas kepada anak Sarawak pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan MADANI turut mengiktiraf peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang semakin signifikan dalam pembangunan sektor minyak dan gas di perairan negara.

“PETROS sedang diperkukuh dan kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) turut diperluas.

“Kerjasama strategik ini akan memacu aktiviti penerokaan baharu serta pembangunan gas, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil negeri melalui pengaturan perkongsian sumber yang lebih jelas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan Sarawak diiktiraf sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia dengan hak dan autonomi negeri diperkukuh melalui penyelesaian segera isu-isu berkaitan MA63 di meja rundingan Persekutuan.

“Antaranya melibatkan penyusunan semula kuasa dalam sektor pendidikan dan kesihatan, peningkatan geran khas serta perjanjian baharu bagi memastikan suara Sarawak lebih kukuh dalam penggubalan dasar nasional,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan terus memberi keutamaan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas merangkumi kawasan bandar dan luar bandar, bagi memastikan tiada komuniti terpinggir, termasuk melalui inisiatif perumahan mampu milik serta pengukuhan jaringan sokongan sosial.

“Melalui lawatan berkala ke Kuching, Miri dan Bintulu, saya memberi jaminan Sarawak adalah fokus utama pembangunan nasional dan terus mara di bawah kerangka Malaysia MADANI,” tegasnya.

Selain itu ujarnya, pembangunan kemudahan rakyat turut menjadi teras utama apabila program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat diperluas, selain pelaksanaan skim Step-Up Financing bagi memudahkan belia Sarawak memiliki rumah pertama.

Tambahnya, bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula membantu meringankan beban kos sara hidup, khususnya melibatkan keluarga di kawasan pedalaman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU