ARTIKEL

Lee ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 Hexagon Highs yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi. Foto UKAS

Sarawak komited bangun hab logistik serantau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) terus komited membangunkan ekosistem logistik yang cekap dan bersepadu sebagai keutamaan utama, seterusnya menyasarkan untuk menjadi hab logistik serantau.

Menterinya, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, sektor logistik merupakan tulang belakang kepada perdagangan dan pelaburan, sekali gus menjadi pemacu penting dalam transformasi ekonomi, terutamanya bagi wilayah yang luas dan kaya dengan sumber seperti Sarawak.

Sekitar rakaman semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 Hexagon Highs. Foto UKAS

“Untuk menyokong matlamat ini, pelbagai inisiatif strategik sedang dilaksanakan, termasuk memudahkan operasi logistik moden dan kos efektif merangkumi jalan darat, laut dan udara, selain menambah baik sambungan ‘first-mile’ dan ‘last-mile’ bagi menyokong industri dan perdagangan.

“Pada masa yang sama, Sarawak turut diposisikan sebagai hab logistik serantau yang utama melalui penaiktarafan infrastruktur secara berfokus dan pelaksanaan kerjasama strategik bersama rakan kongsi yang relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 Hexagon Highs yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Tambahnya, fokus utama kementerian pada masa ini ialah mempertingkatkan kapasiti kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

“Pelan Pembangunan Semula Terminal Kargo LTAK dirangka untuk menangani cabaran utama seperti kesesakan, ruang kerja yang terhad serta isu keselamatan.

“Pelan baharu ini merangkumi perluasan kawasan parkir lori seluas 18,000 kaki persegi, penambahbaikan dok kargo, kawasan rehat dan fasiliti sokongan, pembinaan zon operasi khas untuk DHL serta pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti dan keselamatan kargo, malah turut menambah baik pengalaman pengendali logistik secara keseluruhan.

Pada suku pertama 2025, Sarawak mencatatkan jumlah pengendalian kargo udara sebanyak 14,438 tan, satu peningkatan sebanyak 23.3 peratus berbanding 11,072 tan dalam tempoh yang sama pada 2024.

Sehubungan itu, Lee menegaskan bahawa visi Sarawak dalam bidang logistik tidak terhenti setakat pembangunan semula LTAK, malah akan diperluaskan untuk menyokong transformasi menyeluruh ke arah sebuah hab logistik yang berdaya saing di rantau ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU