KUCHING: Sarawak akan terus bekerjasama dalam menyokong agenda nasional bagi mencapai sasaran 43 juta pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebagai sebahagian daripada Malaysia, Sarawak perlu bersama-sama menyumbang kepada usaha tersebut.


“Kita membantu mencapai agenda nasional walaupun ini merupakan program peringkat pusat yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Tourism Malaysia.
“Tidak wajar untuk kita bergerak secara bersendirian kerana kita juga sebahagian daripada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis sambutan mesra pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sasaran tahun sebelumnya iaitu 40 juta pengunjung dijangka dapat dicapai berikutan sehingga November lalu, jumlah ketibaan mencecah 38.3 juta orang.
“Saya percaya sasaran 40 juta bagi tahun 2025 dapat dicapai apabila data penuh dikeluarkan kelak. Untuk sasaran tahun ini (2026) iaitu 43 juta, saya rasa ia agak mudah dicapai,” katanya.
Mengulas sasaran kemasukan pengunjung ke Sarawak pada 2026, beliau berkata angka tetap belum ditetapkan memandangkan data penuh bagi tahun sebelumnya masih belum dimuktamadkan.
“Sekiranya kita berjaya melepasi sasaran 2025 iaitu lima juta pengunjung, kita akan menetapkan sasaran baharu bagi 2026. Namun jika tidak, sasaran sedia ada akan dikekalkan.
“Kita di Sarawak belum pernah mencapai lima juta pengunjung. Setakat November 2025, kita merekodkan 4.42 juta pengunjung.
“Saya tidak pasti sama ada sasaran itu dapat dicapai kali ini, namun angka tersebut hampir menyamai sasaran dengan hasil pelancongan mencatat purata lebih RM1 bilion sebulan,” ujarnya.
Sarawak turut menyertai pelancaran serentak Tahun Melawat Malaysia 2026 di peringkat kebangsaan dengan penganjuran acara sambutan di sembilan pintu masuk utama termasuk lapangan terbang dan sempadan darat di seluruh negeri.


