Sarawak komited jaga hutan

LAWAS: Pusat Interpretasi Heart of Borneo (HOB) di kawasan Hutan Simpan Kayangeran, di sini telah pun siap 88 peratus.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pusat tersebut merupakan satu-satunya pusat seumpama itu di Sarawak.

“Projek HOB ini merupakan kolaborasi tiga negara, Malaysia,Indonesia dan Brunei.

Ini menunjukkan kita amat komited menjaga hutan kita,” katanya.

“Apabila siap kelak, pusat ini akan menempatkan galeri awam, pejabat pengurusan dan penyelidikan spesies hutan di kawasan projek HOB,” ujarnya selepas melawat tapak projek.

Katanya, apabila siap kelak, ia akan menjadi nadi utama pengurusan hutan di samping tarikan ekopelancongan di daerah ini.

Turut hadir Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong; Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan Adun Batu Danau Paulus Palu Ngumbang.