KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan dalam aspek perkhidmatan awam selaras dengan semangat dan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 mencerminkan komitmen dan dedikasi tinggi kedua-dua pihak.


Menurutnya, mesyuarat berkenaan signifikan dalam memastikan perkara berkaitan struktur perkhidmatan, perjawatan, pembangunan modal insan serta kebajikan penjawat awam dapat diteliti secara adil dan inklusif.
“Kerajaan Sarawak amat menghargai usaha berterusan Kerajaan Persekutuan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam, dalam menyelaras hal ehwal perkhidmatan awam di Sarawak dan Sabah.
“Kami juga sentiasa komited memberikan kerjasama penuh bagi memastikan setiap keputusan yang dicapai memberi manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada perkhidmatan awam, malah kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta delegasi dari Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kerajaan Sabah yang hadir.
Menurutnya, jamuan makan malam berkenaan menjadi platform untuk memperkukuh silaturahim dan jaringan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.
“Saya yakin mesyuarat ini mampu mencapai keputusan yang menyeluruh, inklusif serta memberi impak berpanjangan dalam usaha memperkasa tadbir urus, termasuk mewujudkan sistem perkhidmatan awam yang mampan di Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

