Sarawak kuat kuasa kuarantin 14 hari untuk pelancong dari Singapura

KUCHING: Berkuat kuasa hari ini, sesiapa yang tiba dari Singapura ke Sarawak akan dikehendaki menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan di Singapura yang menyaksikan Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) republik itu telah mengeluarkan amaran tahap Jingga berhubung penularan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

“Menurut DORSCON, tahap itu (Jingga) adalah adalah amaran kedua tertinggi, yang menunjukkan bahawa penyakit tersebut adalah teruk dan mudah merebak daripada orang-ke-orang namun ia tidak merebak secara meluas di Singapura dan sedang dibendung,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hari ini.

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata kejadian kluster 2019-nCoV di Singapura yang berlaku di sebuah gereja, kedai produk kesihatan dan hotel selepas satu persidangan antarabangsa, amat merisaukan Sarawak.

“Mangsa meliputi mereka yang pergi ke gereja hinggalah pemandu teksi, pemandu kereta sewa persendirian, pemandu pelancong dan seorang guru. Mereka tidak pergi ke China namun terjejas di semua lokasi ini,” katanya.

Uggah berkata jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai badan yang mewakili gereja, kuil, masjid, Unit Agama-Agama lain, persatuan teksi, persatuan pengusaha hotel, persatuan bas jarak jauh dan lain-lain untuk mendapatkan sokongan mereka dalam usaha memerangi jangkitan itu, terutama dalam mencegah penularannya.

Mengulas perkembangan terkini penyakit itu di Sarawak, beliau berkata antara 10 Jan hingga semalam, terdapat sejumlah 60 kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI).

“Kami mempunyai 43 kes negatif dan 17 lagi sedang menunggu ujian makmal manakala 15 daripada 43 kes ini membabitkan rakyat Malaysia yang dicatat di Hospital Umum Sarawak, lapan di Hospital Sibu, tujuh di Miri dan empat di Bintulu,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak