Sarawak lakar sejarah

KUCHING: Sarawak melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia dan negara pertama di Asia Tenggara memiliki loji pengeluaran dan stesen isi semula bahan api hidrogen.

Pelancaran loji dan stesen ini disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabat Wilayah Barat, Sesco Berhad di sini, semalam.

Pada majlis yang sama, beliau turut memperkenalkan tiga buah bas, dari China yang menggunakan kuasa tujahan hidrogen, yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Menurutnya, kejayaan ini amat signifikan bagi Sarawak kerana ia merupakan langkah pertama ke arah menjayakan Agenda Tenaga Hijau Sarawak.

“Biarpun masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan, namun projek tenaga alternatif ini berpotensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negeri pada masa akan datang.

Katanya dengan bangga, di rantau Asia Tenggara, Sarawak merupakan negeri pertama yang mengorak langkah ke arah ini.

“Kita yakin sedikit masa lagi, Sarawak akan memiliki produk baharu dan ia datang dari sumber yang kita ada iaitu air,” katanya.

Ketua Menteri sebelum ini menjelaskan, pihaknya akan menggunakan sepenuhnya empangan-empangan yang dimilikinya untuk tujuan penjanaan tenaga hidrogen.

Empangan tersebut ialah Empangan Bengoh; Empangan Batang Ai; Empangan Bakun dan Empangan Murum.

Empangan Baleh kini masih dalam pembinaan manakala kerja-kerja pembinaan Empangan Trusan akan dimulakan selepas itu.

Projek pembinaan loji dan stesen ini bermula pada 29 Julai tahun lalu membabitkan Sarawak Energy Berhad dan rakan kongsinya, Linde Eox Sdn Bad, anak syarikat Linde Malaysia.

Loji ini berperanan menghasilkan gas hidrogen melalui proses elektrokimia, yang juga dikenali sebagai elektrolisis.

Ia mampu mengeluarkan 130 kilogram hidrogen sehari pada tahap kebersihan 99.999 peratus dan berupaya menyokong dan memenuhi pengisian sehingga lima buah bas dan 10 kereta sehari.

Penggunaan bahan api hidrogen bagi pengangkutan adalah sifar pelepasan karbon dan hanya melepaskan air serta haba.

PPES pula memiliki dan menguruskan stesen isi semula bahan bakar untuk bas elektrik sel hidrogen.

Suara Sarawak