ARTIKEL

Sarawak mahu bangunkan sukan peringkat akar umbi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Program Kids’ Athletics adalah satu usaha berimpak besar dalam membentuk generasi muda Sarawak yang sihat tubuh badan, cerdas akal fikiran dan tinggi nilai jati diri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program ini bukan sekadar pertandingan.

“Dengan penyertaan 25 buah sekolah rendah merangkumi Zon Mukah, Daro dan Dalat, kita dapat menyaksikan semangat kesukanan yang tinggi dalam diri anak-anak.

“Mereka bukan sahaja bersaing secara sihat, malah membina persahabatan, keyakinan dan disiplin yang mana ini merupakan nilai-nilai amat penting dalam pembangunan generasi masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Rasmi Program Kids’ Athletics 2025 Siri 2.2 Peringkat Zon Mukah, di Stadium Mukah, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, program seperti ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk belajar melalui pengalaman, meneroka potensi diri dan mengembangkan bakat dalam suasana yang menyeronokkan dan selamat.

Jelasnya, pelbagai disiplin dalam aktiviti yang dilaksanakan memberi cabaran fizikal dan mental yang seimbang serta memerlukan kerjasama, strategi dan kecekapan.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyeru kementerian, jabatan pendidikan, persatuan sukan, pihak sekolah dan komuniti agar terus bekerjasama.

RAKAM KENANGAN… Fatimah merakam kenangan bersama yang lain selepas menyempurnakan program tersebut.

Ujarnya, usaha ini penting untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri contoh dalam pembangunan sukan peringkat akar umbi.

Tambah Fatimah, bagi pihak Kerajaan Sarawak, beliau memberi jaminan bahawa sokongan kepada program-program seperti ini akan diteruskan, diperluaskan dan diperkasa.

“Saya berharap sekolah-sekolah di zon lain juga akan mengambil langkah proaktif untuk menganjurkan edisi mereka sendiri selepas ini,” tambahnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU