ARTIKEL

Annuar (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Datuk Sudarnoto Osman pada Majlis Pembukaan Startup Village sempena IDECS 2026 di BCCK, hari ini.

Sarawak mahu perkukuh ekosistem syarikat pemula melalui laluan lebih jelas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mahu memperkukuh ekosistem syarikat pemula dengan menyediakan laluan lebih jelas daripada penyelidikan dan pembangunan bakat kepada pengkomersialan, akses pasaran serta pelaburan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha itu penting kerana syarikat pemula mempunyai sumbangan tersendiri kepada ekonomi, khususnya menerusi keupayaan menguji pendekatan baharu dengan pantas serta meneroka peluang yang mungkin belum bersedia ditangani oleh organisasi yang lebih kukuh.

Katanya, bagi Sarawak, kejayaan ekosistem syarikat pemula tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah syarikat yang ditubuhkan atau pembentangan yang dibuat semata-mata.

Annuar ketika berucap sekali gus membacakan teks ucapan Sagah.

“Kita mahu syarikat yang boleh dibangunkan dari Sarawak, menyelesaikan masalah sebenar, menjana pendapatan, menarik pelaburan dan akhirnya bersaing di pasaran luar negeri.

“Apabila syarikat tersebut berkembang, kita mahu lebih banyak pengetahuan, harta intelek, pekerjaan berkemahiran serta pengalaman keusahawanan yang terhasil daripada pertumbuhan tersebut kekal mempunyai hubungan dengan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee pada Majlis Pembukaan Startup Village sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah, Startup Village menyediakan ruang praktikal untuk menguji idea berdasarkan keperluan sebenar, membolehkan pengasas memahami kehendak pasaran, pelabur meneroka peluang baharu serta membuka ruang kepada pembentukan kerjasama.

Menurutnya, program itu dirangka berdasarkan proses sebenar dalam membina dan mengembangkan sesebuah perusahaan.

“Perbincangan hari ini (5 Oktober) menyentuh bakat yang diperlukan oleh syarikat teknologi yang sedang berkembang, peluang membawa perniagaan dari BIMP-EAGA ke pasaran ASEAN yang lebih luas serta perkara yang dinilai oleh pelabur dalam sesebuah usaha niaga baharu.

“Esok (6 Oktober), perbincangan akan diteruskan menerusi sesi pembentangan melibatkan perusahaan sosial, teknologi angkasa (SpaceTech), residensi digital dan kerja jarak jauh, kandungan budaya serta harta intelek,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, menerusi Ekosistem Digital dan Inovasi Sarawak, sokongan dibangunkan pada pelbagai peringkat perjalanan inovasi, daripada pembangunan bakat dan idea hingga membantu perniagaan menguji, mengkomersialkan serta mengembangkan penyelesaian mereka.

Jelasnya, ia merangkumi sembilan Hab Inovasi Digital yang beroperasi di seluruh Sarawak, selain program pemecut, platform penyelidikan dan teknologi, rakan pembiayaan serta program akses pasaran.

“Antara 2021 hingga 2025, lebih 800 program dan bengkel dilaksanakan dengan penglibatan lebih 28,000 peserta, manakala lebih 33,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) didigitalkan serta lebih 45,000 pelajar mendapat manfaat.

“Namun, skala semata-mata bukan matlamatnya.

Peringkat seterusnya adalah memastikan setiap komponen ekosistem ini berfungsi sebagai satu laluan yang saling berhubung supaya bakat dapat mengembangkan idea, penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian berdaya maju, penyelesaian berkembang menjadi syarikat dan syarikat pula dapat mencapai pelanggan, pasaran serta pelabur,” tegasnya.

Beliau memberitahu, Startup Village diwujudkan bagi memperkukuh hubungan tersebut dengan menjadi persekitaran yang membolehkan penyelidik bertemu rakan industri, pengasas mencari bakal pelanggan dan pelabur mengenal pasti syarikat yang berpotensi untuk berkembang.

Pada masa sama, katanya, ia membuka laluan kepada penyelesaian berpotensi untuk dibawa ke peringkat pasaran seterusnya.

“Oleh itu, ukuran sebenar kejayaan bukan sekadar jumlah program yang dilaksanakan atau perbincangan yang diadakan, tetapi hasil selepas itu — sama ada dalam bentuk prototaip, projek rintis, pelanggan, syarikat baharu, pelaburan mahupun penembusan ke pasaran baharu,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU