KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menekankan kepentingan keterhubungan pengangkutan, tenaga dan jaringan digital ketika berucap pada Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan keenam (CMGLG) bersempena Mesyuarat Kementerian BIMP-EAGA ke-27 2024.
Forum tersebut diadakan di Kota Kinabalu, Sabah yang memfokuskan kepada keterhubungan rentas sempadan dan mempromosikan pembangunan mampan dalam rantau BIMP-EAGA.
Menurut satu kenyataan, Awang Tengah berkata, projek infrastruktur utama Lebuh Raya Pan Borneo, Lebuh Raya Pesisir Wilayah Utara, dan Jalan Penghubung Sabah-Sarawak memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jaringan pengangkutan serantau.
Beliau berkata, projek-projek ini selari dengan agenda Keterhubungan ASEAN 2025 yang bertujuan meningkatkan integrasi ekonomi dan memudahkan pergerakan di seluruh rantau.

“Sarawak juga sedang memajukan infrastrukturnya dengan menaik taraf pelabuhan dan lapangan terbang serta merancang penubuhan syarikat penerbangan milik negeri untuk menggalakkan perjalanan lancar di seluruh rantau ini.
“Kajian kebolehlaksanaan bagi projek Keretapi Trans-Borneo sedang dijalankan untuk mempertingkatkan lagi keterhubungan antara Sabah dan Sarawak,” katanya.
Awang Tengah turut menekankan peranan strategik Sarawak dalam menyokong Agenda Grid Tenaga ASEAN.
Menurutnya, Sarawak kini menjana 5.75 gigawatt (GW) tenaga elektrik, dengan 70 peratus daripadanya datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Jelasnya, Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaganya kepada 15 GW, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga serantau.
“Sejak 2016, Sarawak telah mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat dan sedang giat bekerjasama dengan Indonesia dalam projek Hidroelektrik Mentarang Induk.
“Sarawak juga komited untuk membantu Brunei Darussalam mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharuinya menjelang 2035,” katanya,
Beliau turut menegaskan komitmen Sarawak terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Katanya, Sarawak telah memulakan projek tenaga bersih seperti projek hidrogen hijau, bahan api penerbangan mampan daripada mikroalga, dan telah mengemas kini peraturan bagi penangkapan dan penyimpanan karbon serta aktiviti karbon hutan.
Beliau juga menyeru kerjasama di kalangan negara-negara rantau BIMP-EAGA untuk memperbaiki keterhubungan digital.
“Sarawak sedang melabur dalam internet berkelajuan tinggi, rangkaian 5G, dan Jaringan Gentian Optik Nusantara yang menghubungkan Sarawak dengan Indonesia.
“Sarawak juga bercadang untuk bekerjasama dengan Brunei bagi meningkatkan keterhubungan rangkaian yang akan berfungsi sebagai hab jalur lebar,” katanya lagi.
Dalam ucapannya beliau turut menekankan kemajuan Sarawak dalam pembangunan ekonomi digital melalui Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030, yang selaras dengan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN dan Strategi Pemodenan Bandar Mampan ASEAN.
Katanya, Sarawak sedang melaksanakan projek Bandar Pintar di Kuching dan Miri, yang bertujuan untuk pengurusan sumber pintar serta memupuk kerjasama dengan sektor swasta untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
“Inisiatif utama seperti Pusat Operasi Bersepadu Sarawak di Kuching dan Pusat Kawalan Bandar Miri dengan perkhidmatan bas pintar menunjukkan kemajuan besar Sarawak dalam pembangunan bandar pintar,” katanya.

