MIRI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiat usaha untuk memastikan penyertaan yang lebih meluas dari Sarawak dalam pangkalan data rujukan genom nasional melalui projek MyGENOM.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, inisiatif ini bertujuan menghasilkan satu rujukan genom nasional yang benar-benar inklusif, tepat dan mewakili kepelbagaian genetik rakyat Malaysia, terutamanya dalam kalangan komuniti pribumi di Sarawak.
Beliau berkata setakat minggu lalu, sebanyak 121 sampel berjaya dikumpul di negeri ini.
“Pihak Kementerian berharap dapat merekrut seramai mungkin peserta dari Sarawak menerusi Unit Tabung Darah dan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di hospital terlibat menjelang akhir 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pengumpulan Data Penyelidikan MyGENOM Zon Sarawak di salah sebuah hotel,di sini, hari ini.




