PAKISTAN: Sarawak mampu menjadi hub teknologi pertahanan serantau dengan infrastruktur dan sumber daya manusia yang semakin berkembang.
Ia susulan penyertaan wakil Sarawak dalam Pameran Antarabangsa Pertahanan dan Seminar (IDEAS) 2024 di Karachi, Pakistan yang berlangsung dari 19 hingga hari ini membuktikan keupayaan wilayah ini dalam bidang itu.
Menurut Jurucakap Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, penglibatan wakil Sarawak dalam pameran itu juga dapat memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai rakan strategik dalam industri pertahanan global.

“Selain itu, pameran tersebut menghimpunkan sebanyak 224 syarikat tempatan dan 333 syarikat antarabangsa dari 55 negara.
“Dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, ia juga dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bersama Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi,” katanya.
Tambah Jurucakap tersebut, semasa lawatan, PAT dan PMT TD berkesempatam meninjau beberapa pavilion utama yang mempamerkan teknologi pertahanan yang mutakhir.
Antara yang mencuri perhatian adalah inovasi pertahanan termaju merangkumi spektrum keupayaan pertahanan darat, aset maritim moden, teknologi aeroangkasa serta penyelesaian keselamatan siber generasi terkini.
“Sarawak kini berada di trajektori strategik untuk menerajui teknologi satelit dan pertahanan Malaysia seiring dengan penubuhan Jawatankuasa Industri Angkasa dan Satelit (SISCOM).
“Dengan aspirasi untuk memiliki dan mengurus aset teknologi satelit sendiri, Sarawak berpotensi menjadi pemain utama dalam ekosistem teknologi global.
“Langkah ini bukan sahaja dapat memacu pembangunan ekonomi negeri tetapi juga membuka peluang untuk Sarawak menyertai acara antarabangsa seperti IDEAS 2024,” katanya.
Berhubung lawatan itu, ia juga menegaskan kepentingan penyertaan Malaysia dalam pameran berprestij ini sejajar dengan hasrat ATM untuk merealisasikan pembentukan AMH menjelang 2030.
Lawatan delegasi ATM ke IDEAS 2024 juga amat signifikan dalam konteks permodenan ATM yang kini berada di landasan tepat menuju inisiatif ANGKATAN 30 yang sedang giat dilaksanakan.


