BINTULU: Sarawak mara ke separuh akhir acara regu wanita selepas menewaskan Perak dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan Kumpulan A pagi tadi.
Regu wanita Sarawak, yang terdiri daripada Diana Ricky (apit kiri), Suzila Agnes Thomas (apit kanan), dan Vanessa Emelda Austin (tekong), menunjukkan prestasi cemerlang dengan mendominasi set pertama perlawanan dan meraih kemenangan 15-10.
Set kedua perlawanan menyaksikan persaingan yang lebih sengit.
Sarawak memulakan permainan dengan baik, memperoleh mata pertama selepas kesilapan pemain Perak.
Namun, pasukan Perak, yang dibarisi Fariesha Nur Dania Ahmad Hamri, Noratikah Ahmad, dan Putri Nurleesya Fatihah Nor Azli, memberi tentangan hebat.

Keputusan terikat 14-14 memaksa perlawanan memasuki masa tambahan.
Dalam masa tambahan, Perak mengasak dengan servis kencang Putri Nurleesya, yang memberi peluang dua mata tambahan kepada Perak akibat kesilapan tekong dan apit kiri Sarawak.
Walaupun Perak cuba mendekati, Sarawak akhirnya menutup perlawanan dengan kemenangan 17-16.
Penolong Jurulatih Sepak Takraw Wanita Sarawak, Mohamad Fathan Akhbar Raduan, ketika ditemui usai perlawanan, berpuas hati terhadap pencapaian anak buahnya.
Beliau berkata sasaran utama adalah untuk mara ke separuh akhir dan tidak menumpukan pada pingat. Fathan berharap agar pemain terus mengekalkan momentum dan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan menentang Selangor pada esok hari(Jumaat).
Sementara itu, kapten pasukan regu wanita Sarawak, Diana Ricky, menyatakan bahawa kemenangan ini adalah hasil kerja berpasukan yang kuat.
Beliau yakin bahawa kerjasama dan semangat juang pasukannya adalah faktor utama kejayaan mereka dan percaya bahawa mereka mampu memenangi perlawanan menentang Selangor pada Jumaat ini untuk melangkah ke peringkat akhir.
Sarawak akan turun menentang Selangor pada jam 10 pagi esok (Jumaat) dalam perlawanan penentuan untuk merebut tempat di perlawanan akhir dan peluang meraih pingat emas.
Semua mata akan tertumpu kepada perlawanan tersebut, di mana Sarawak bertekad untuk memberikan persembahan terbaik.



