KUCHING: Sarawak pada hari ini tidak dilihat sebagai negeri yang bergantung kepada balak, minyak, gas dan komoditi, tetapi memacu transformasi ke arah teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan industri bernilai tinggi di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari
Adun Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, transformasi ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi ia dipandu melalui pelan hala tuju yang jelas menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, strategi PCDS 2030 sememangnya bercita-cita tinggi dan mencabar, namun ia bukan sesuatu yang mustahil dicapai dengan Sarawak hari ini memiliki beberapa kekuatan penting.
“Pertama, Sarawak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta disiplin fiskal yang baik.
“Hasil negeri meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lalu melalui usaha penstrukturan semula hasil negeri oleh Premier, sekali gus membolehkan kerajaan melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan luar bandar dan industri strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Di samping itu Soon Koh berkata, Sarawak menikmati kestabilan politik dan kesinambungan pelaksanaan dasar.
Jelasnya, ini amat penting kerana transformasi ekonomi berskala besar tidak dapat dicapai melalui pemikiran jangka pendek atau pentadbiran yang tidak stabil.
“Ketiga, Sarawak dikurniakan sumber semula jadi yang melimpah, khususnya potensi tenaga boleh diperbaharui melalui kuasa hidro.
“Di bawah kepimpinan Premier, kelebihan ini kini diterjemahkan menjadi aset ekonomi strategik,” katanya.
Tambahnya, hari ini Sarawak muncul sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, teknologi hijau, industri semikonduktor, ekonomi digital, pembangunan aeroangkasa dan pembuatan lestari.
Jelasnya, ini merupakan perubahan besar daripada struktur ekonomi tradisional pada masa lalu.

