KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) mencipta pencapaian penting dalam Projek Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan melaksanakan ujian langsung Sistem Telekomunikasi Radio LTE 4G bagi Transit Aliran Automasi (ART).
Sarawak Metro dalam satu kenyataan berkata, ujian itu adalah untuk menilai spektrum LTE Band 39 dari 1900 MHz hingga 1915 MHz bagi kegunaan operasi.
Ia dijalankan dari 1 hingga 3 Oktober lalu di sepanjang Jalan Datuk Mohammad Musa, dan dilaksanakan dengan kerjasama kontraktor bagi Pakej Sistem 2 projek tersebut iaitu usahasama DOM Industries (M) Sdn Bhd dan China Railway Electric Engineering Group Malaysia Sdn Bhd (DOM-EEB JV).
Ujian kritikal ini menyokong permohonan Sarawak Metro kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk peruntukan 15MHz spektrum LTE Band 39.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa menekankan kepentingan kejayaan ujian ini, yang disifatkan sebagai satu lagi keutamaan bagi projek KUTS, yang sebelum ini menjadi pengendali pertama di Asia Tenggara menggunakan kenderaan pengangkutan awam berkuasa hidrogen.
“Kejayaan ujian ini membawa kita selangkah lebih dekat untuk melaksanakan sistem komunikasi yang boleh dipercayai dan cekap untuk projek KUTS.
“Setelah kita memperoleh semua kelulusan yang diperlukan, KUTS menjadi sistem pengangkutan awam pertama di Asia Tenggara yang mempunyai sambungan 4G LTE pada sistem ART.
“Ia memastikan sambungan bertaraf dunia untuk pengguna pengangkutan awam di Kuching, dan sekali gus membuktikan komitmen kami untuk memanfaatkan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan pengalaman sistem pengangkutan awam kami,” ujarnya.
Menurutnya, ujian itu turut membuktikan bahawa isyarat operasi ART dalam jalur 1900 MHz hingga 1915 MHz tidak mengganggu pemegang spektrum bersebelahan, termasuk Maxis, Umobile, dan CelcomDigi.
Katanya, keputusan ujian ini dimasukkan ke dalam permohonan spektrum rasmi Sarawak Metro kepada MCMC untuk mendapatkan kelulusan muktamad.
Dedahnya, sistem telekomunikasi radio KUTS itu berasaskan seni bina Future Railway Mobile Communication System (FRMCS) dan menggunakan frekuensi LTE Band 39, yang mewakili satu langkah perintis dalam sektor pengangkutan awam di rantau ini.




