KUCHING: Sarawak kini diiktiraf sebagai negeri dengan fasiliti sukan tenis terbaik di Malaysia, sekali gus menyokong penganjuran kejohanan antarabangsa dan merancakkan sektor pelancongan sukan di peringkat domestik serta antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, pengiktirafan tersebut turut diakui sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Kejayaan ini tidak berlaku sekelip mata kerana ia memerlukan pengorbanan dan dedikasi tinggi daripada komuniti, terutamanya di bawah pimpinan Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew, yang terus memajukan sukan tenis agar kekal aktif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Gawai SLTA di SLTA Clubhouse, di sini, hari ini.
Sukan tenis bukan sahaja membuka peluang kepada golongan muda untuk mencungkil bakat dan membina keyakinan diri, malah menggalakkan pelibatan semua peringkat umur mengamalkan gaya hidup sihat.
Mengenai kepentingan gaya hidup sihat, beliau turut menggalakkan masyarakat untuk menyertai pelbagai jenis sukan seperti pickleball, futsal, dan ping pong.
“Saya menyokong apa jua bentuk sukan, dan sekiranya terdapat permintaan daripada komuniti untuk membangunkan fasiliti sukan, kita akan melaksanakannya.
“Contohnya, di Bau, kita telah membina dua gelanggang pickleball berbumbung, masing-masing di Jambusan dan Musi, hasil permintaan masyarakat setempat,” tambahnya.
Katanya lagi, sukan itu telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi tempatan melalui kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara.
“Kita telah menjemput ramai pemain dan peminat tenis dari luar negara ke Sarawak untuk menyertai pelbagai kejohanan, dan kehadiran mereka sudah tentu membantu merancakkan ekonomi, terutamanya dalam sektor perhotelan,” ujarnya.

