KUCHING: Sarawak akan menilai tahap kesediaan semasa negeri dalam bidang kecerdasan buatan (AI) menerusi Indeks Kesediaan AI Sarawak (SARI) bagi menyokong pelaksanaan Blueprint AI Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), Profesor Dr Patrick Then berkata, Bengkel Permulaan Sarawak AI Blueprint menjadi wadah penting yang mengumpulkan 250 peserta daripada pelbagai sektor untuk berkongsi pendapat serta menyumbang idea dalam merangka pelan tindakan itu.
“Kami berbesar hati menerima penyertaan peserta daripada Kerajaan Sarawak, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor industri, akademia, institusi penyelidikan dan organisasi teknologi yang mencerminkan keperluan sebenar dalam membentuk masa depan AI Sarawak.
“Program ini akan disusuli dengan Sesi Perkongsian Metodologi SARI yang dikendalikan oleh PwC, diikuti dengan Kajian Indeks Tinjauan AI.
“Keseluruhan sesi ini akan membantu kita memahami dengan lebih baik tahap kesediaan AI Sarawak ketika ini serta memberikan input berharga bagi menyokong pelaksanaan Blueprint AI Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Bengkel Permulaan Pembangunan Sarawak AI Blueprint yang dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Sarawak AI Blueprint itu menjadi asas penting dalam merealisasikan aspirasi Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meletakkan Sarawak di hadapan dalam bidang AI dan inovasi digital.
“Ini merupakan aspirasi jangka panjang SAIC yang mencerminkan komitmen kami dalam pembangunan AI demi memenuhi keperluan rakyat, industri dan negeri,” jelasnya.
Menurutnya, AI sedang mengubah landskap ekonomi, industri dan institusi awam di seluruh dunia dengan pesat.
“Teknologi ini mengubah cara kerajaan menyampaikan perkhidmatan, perniagaan mencipta nilai, universiti menyediakan bakat masa depan serta penyelidikan dan inovasi dilaksanakan.
“Perbincangan tentang AI juga telah berkembang kerana organisasi tidak lagi mempersoalkan kepentingannya, sebaliknya mencari kaedah untuk menerapkannya secara bertanggungjawab, membina keupayaan yang tepat dan menterjemahkan potensinya kepada hasil yang bermakna.
“Bagi Sarawak, perkembangan ini membawa peluang serta tanggungjawab dan kita boleh menentukan hala tuju sendiri yang mencerminkan kekuatan unik, keutamaan pembangunan serta aspirasi jangka panjang negeri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, SAIC ditubuhkan untuk memacu pembangunan AI di Sarawak menerusi penyelidikan dan inovasi, pembangunan bakat, tanggungjawab dalam penggunaan AI serta kerjasama strategik antara seluruh kerajaan, industri dan akademia.
“Pembangunan ini mencerminkan sokongan SAIC, namun ia tidak mampu dibangunkan oleh satu organisasi sahaja, justeru ia mesti dibentuk oleh pihak yang memahami peluang serta cabaran di pelbagai sektor,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur bersama, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), atas sumbangan dalam menjayakan program berkenaan.
“Penghargaan sama diberikan kepada PwC selaku fasilitator strategik yang menyokong inisiatif ini serta Sarawak Business Federation (SBF) atas sokongan yang diberikan,” tambahnya.


