KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas membuktikan Sarawak bersedia memimpin reformasi tadbir urus serta memperkukuh inovasi institusi demi meningkatkan akauntabiliti dan kredibiliti pentadbiran negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, langkah tersebut merupakan satu perkembangan penting dan progresif dalam usaha membentuk sistem pentadbiran yang lebih telus.
Menurutnya, Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan jawatankuasa khas berkaitan fungsi Ombudsman dan mekanisme akauntabiliti awam.
“Penubuhan jawatankuasa ini penting kerana tadbir urus yang baik bukan sahaja perlu wujud pada prinsip.
“Tetapi juga mesti disokong oleh mekanisme institusi yang kukuh yang mampu memantau prestasi, meneliti aduan, memastikan ketelusan serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.
“Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Sarawak dalam memperkukuh akauntabiliti dan mempertingkatkan tadbir urus demokrasi secara matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Seksyen 42(3), Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tadbir urus bukan sekadar berkaitan pengurusan pentadbiran atau pelaksanaan dasar.
“Sebaliknya, ia merupakan asas utama yang membolehkan sesebuah masyarakat membangunkan kestabilan, kemakmuran dan ketamadunan.
“Menelusuri sejarah, tamadun yang bertahan lama tidak dibina semata-mata atas kekayaan atau kekuatan ketenteraan.
“Namun dibina atas institusi yang kukuh, undang-undang yang berkesan, kepercayaan rakyat serta kepimpinan yang menjunjung keadilan dan akauntabiliti,” katanya.
Beliau berkata, tanpa tadbir urus yang baik, masyarakat akan terperangkap dalam konflik, ketidakstabilan dan ketidaktentuan.
“Dengan adanya tadbir urus yang baik, masyarakat mampu bergerak daripada ketidakpercayaan kepada keyakinan dan daripada sekadar kelangsungan hidup kepada pembangunan mapan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, tadbir urus merupakan kerangka yang membolehkan sesebuah tamadun berkembang maju.
“Budaya mungkin membentuk identiti. Teknologi mungkin mempercepatkan kemajuan. Pertumbuhan ekonomi mungkin menjana kemakmuran.
“Tetapi tanpa integriti, keadilan, akauntabiliti, kepercayaan terhadap institusi dan tadbir urus yang berkesan, tiada masyarakat mampu mencapai kestabilan yang berkekalan atau kemajuan yang mapan,” katanya.


