KUCHING: Sarawak kini berada di barisan hadapan pembangunan bandar berteraskan kanak-kanak di Malaysia apabila tujuh daripada 11 bandar calon dalam Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, tujuh PBT tersebut telah menerima pengiktirafan rasmi sebagai Bandar Calon CFCI, dimulakan dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan pada 4 Disember 2025.
Katanya, ia kemudian diikuti oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara, Lembaga Kemajuan Bintulu, Majlis Bandaraya Miri, Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Sibu dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan pada 8 Februari 2026.
“Ketujuh-tujuh majlis ini dengan kerjasama UNICEF serta rakan strategik lain berjaya membangunkan tujuh Pelan Tindakan CFCI 2026–2028 sebagai hala tuju strategik bagi memandu pelaksanaan jangka panjang melangkaui kitaran politik serta memastikan hasil yang mampan dan boleh diukur untuk kanak-kanak.
“Pencapaian ini meletakkan Sarawak sebagai peneraju pembangunan bandar mesra kanak-kanak di Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelan tindakan tersebut berpandukan empat tema utama iaitu setiap kanak-kanak hidup dan membesar dengan sihat, setiap kanak-kanak mendapat pendidikan, setiap kanak-kanak dilindungi serta setiap kanak-kanak diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan komuniti.
Katanya, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan di bawah tema berkenaan termasuk penyediaan ruang awam yang lebih selamat, program literasi digital, kemudahan rekreasi inklusif, langkah perlindungan kanak-kanak serta penubuhan Majlis Kanak-Kanak bagi memperkasa golongan itu dan memperkukuh komuniti mesra kanak-kanak di seluruh Sarawak.
“Kita bukan sahaja beraspirasi mencapai standard Sarawak, malah mahu mencapai penanda aras antarabangsa yang diiktiraf organisasi seperti UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan peluasan inisiatif CFCI ke beberapa majlis daerah terpilih bagi memperkukuh lagi pembangunan komuniti mesra kanak-kanak di seluruh negeri.
Menyentuh mengenai Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (THPC) dan Tribunal Pengurusan Strata (SMT), Dr Sim berkata, sebanyak 412 kes pemfailan direkodkan oleh kedua-dua tribunal itu bagi tempoh 2025 hingga Mei 2026.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 274 kes berjaya diselesaikan sama ada melalui award, penolakan atau penarikan balik sebelum prosiding tribunal dijalankan.

