KUCHING: Sarawak kini menjadi pengeluar dan pengeksport pelet biojisim rumput Napier berskala besar yang pertama di dunia, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, ini susulan lawatan ke Stesen Janakuasa Drax di United Kingdom, yang dahulunya menggunakan kuasa arang batu dan kini 100 peratus dijana oleh biojisim.
“Selepas melihat transformasi ini, saya kembali ke Sarawak dan menggalakkan syarikat tempatan untuk meneroka peluang dalam industri tenaga biojisim.
“Menariknya, kini kita sudah menjual pelet ini kepada Drax, iaitu stesen janakuasa yang telah saya lawati sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, rumput Napier tumbuh dengan pesat dan memerlukan penanaman semula yang minimum, tetapi mempunyai kegunaan yang melebihi sektor tenaga.
Jelasnya, ini termasuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), baja dan makanan haiwan sekali gus menggalakkan ekonomi bulat sekali gus meningkatkan keselamatan tenaga serta makanan.
Sehubungan itu, Abang Johari turut berkata bahawa Sarawak mesti berani untuk berpandangan jauh melebihi sasaran pada tahun 2030, terutamanya dalam tenaga boleh diperbaharui.
“Sarawak sedang meneroka penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang inovatif seperti Sistem Tenaga Laut yang memanfaatkan tenaga pasang surut, gelombang dan haba lautan.
“Teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), ‘Building Information Modelling’ (BIM) dan ‘Digital Twin’ juga digunakan bagi mengoptimumkan perancangan tenaga dan pembangunan infrastruktur.
“Walaupun Sarawak maju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kita perlu memanfaatkan sektor minyak dan gas yang menjadi penyumbang utama ekonomi bagi pembangunan sosioekonomi serta keselamatan tenaga,” jelasnya lagi.
Di samping itu, beliau turut memberitahu bahawa ladang solar terapung Batang Ai 50 megawatt akan menjadi kemudahan solar terapung terbesar di Malaysia menjelang akhir 2024.
Tambahnya, projek suria terapung tambahan sedang berkembang di Empangan Murum, Bakun dan Bengoh bersama sistem suria yang dipasang di atas tanah dengan sokongan bateri di Baram, Mukah dan Kuching.

