ARTIKEL

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. - Foto: BERNAMA

Sarawak penyumbang keempat tertinggi kepada KDNK negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Ekonomi Sarawak merupakan penyumbang keempat tertinggi kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar ( KDNK ) negara yang tumbuh 1.2 peratus pada tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan ekonomi Sarawak dicerminkan melalui nilai KDNK sebanyak RM142.4 bilion berbanding RM140.7 bilion pada tahun 2022.

Pada tahun lalu, ujarnya, ekonomi Sarawak diterajui sektor perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 38.3 peratus daripada KDNK negeri ini.

“Seterusnya, sektor pembuatan menyumbang 26.5 peratus, manakala perlombongan dan pengkuarian menyumbang 20.8 peratus.

“Manakala sektor pertanian mewakili 10.6 peratus, diikuti sektor pembinaan 3.6 peratus,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dari segi prestasi ekonomi sektoral, sektor perkhidmatan berkembang 5.4 peratus (2022: 9.3 peratus ), dengan nilai ditambah sebanyak RM54.5 bilion.

Pertumbuhan ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan, minuman dan penginapan serta utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi masing-masing 6.5 peratus dan 6.3 peratus.

Bagaimanapun, katanya, sektor pembuatan menyusut 3.9 peratus (2022: 5.8 peratus), dipengaruhi oleh kejatuhan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (-4.6 peratus), terutamanya produk petroleum bertapis.

Dalam pada itu, sektor perlombongan dan pengkuarian juga merosot 1.0 peratus (2022: 7.3 peratus) disebabkan oleh penurunan dalam gas asli (-1.1 peratus) serta minyak mentah dan kondensat (-2.3 peratus).

“Penurunan ini mempengaruhi prestasi KDNK keseluruhan Sarawak, berikutan sumbangan besar industri minyak dan gas kepada ekonomi negeri ini.

“Penyusutan dalam aktiviti berkaitan minyak dan gas bukan sahaja mengurangkan hasil daripada aktiviti eksport tetapi juga melemahkan pengeluaran industri, sekali gus memperlahankan pertumbuhan ekonomi Sarawak pada tahun 2023.

“Namun begitu, KDNK Sarawak meningkat sebanyak 4.3 peratus, melebihi paras nasional sekiranya tidak meliputi industri minyak dan gas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sarawak merekodkan KDNK per kapita keempat tertinggi di Malaysia dengan nilai RM72,411, iaitu kekal mengatasi paras nasional sebanyak RM54,612.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU