KOTA SAMARAHAN: Sarawak memperhebat usaha menangani penyalahgunaan dadah dan substan dengan pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, penguatkuasaan, rawatan serta pemulihan komuniti berisiko.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) melaksanakan strategi holistik dan bersepadu menerusi Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) sejak 2019.
“MIDS menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasa dan bukan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Jabatan Pendidikan, Kementerian Kesihatan, AADK, Jabatan Kastam, serta pelibatan komuniti setempat.
“Kita tidak hanya fokus kepada tangkapan semata-mata, tetapi juga kepada pemulihan, pencegahan awal dan daya tahan komuniti. Pencegahan dadah ini adalah tanggungjawab bersama,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Sarawak di DeTAR Putra, UNIMAS, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, setakat April, Sarawak merekodkan 4,602 tangkapan berkaitan dadah, dengan 77.68 peratus daripadanya membabitkan kesalahan positif air kencing.
“Tahun lalu sahaja, sebanyak 11,408 tangkapan dilakukan dengan 79 peratus daripadanya melibatkan kes sama. Lebih membimbangkan, peningkatan penagih berulang yang melonjak 120 peratus iaitu daripada 319 kepada 703 kes,” tegasnya.
Beliau turut menggesa kerajaan pusat mempertimbangkan penambahan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di negeri ini memandangkan keberkesanan pusat sedia ada dalam menyokong komuniti pemulihan.
Menurut Fatimah, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada program pencegahan awal melalui pendekatan pendidikan dan pembangunan sahsiah sejak peringkat sekolah rendah sehingga ke universiti.



