ARTIKEL

Datuk Lukanisman Awang Sauni

Sarawak perintis transformasi digital kesihatan awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Sarawak bakal menjadi antara negeri terawal di Malaysia yang melaksanakan transformasi digital secara menyeluruh dalam sistem penjagaan kesihatan awam apabila sebanyak 142 klinik kesihatan di negeri itu akan menggunakan CCMS atau Cloud-Based Clinic Management System menjelang Disember depan.

Pendigitalan ini dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta diluluskan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membekalkan peralatan komputer dan melaksanakan sistem CCMS di klinik-klinik terbabit.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, langkah ini merupakan sebahagian daripada visi kerajaan untuk mencapai sasaran “Satu Individu, Satu Rekod” di seluruh negara menjelang 2029.

“Klinik seperti Klinik Kesihatan (KK) Buntal, KK Santubong, KK Petra Jaya dan KK Sibu Jaya telah pun mula melaksanakan sistem ini.

“Pendigitalan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan klinik, malah mengurangkan masa menunggu dan memastikan kesinambungan rawatan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (Batang Sadong – Gabungan Parti Sarawak) mengenai inisiatif KKM bagi mempercepatkan pendigitalan fasiliti kesihatan khususnya di Sabah dan Sarawak yang berdepan dengan cabaran capaian internet dan infrastruktur di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Lukanisman, CCMS yang dibangunkan berasaskan teknologi pengkomputeran awan terbukti dapat mendigitalisasikan sesebuah klinik dalam tempoh hanya tiga hari berbanding kaedah terdahulu yang memerlukan antara tiga hingga enam bulan.

Sistem ini juga, katanya, memudahkan perkongsian maklumat antara fasiliti kesihatan, memastikan rekod perubatan pesakit dapat diakses dengan selamat di mana-mana klinik atau hospital kerajaan di seluruh negara.

Secara nasional, KKM telah melaksanakan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) secara berperingkat di fasiliti kesihatan awam dengan sasaran 200 buah klinik kesihatan menjelang 2025 dan 16 buah hospital pada 2026.

Setakat ini, 275 klinik kesihatan, 78 klinik pergigian dan 22 hospital telah sepenuhnya menggunakan sistem ini.

“Dengan pelaksanaan EMR dan CCMS, 70 peratus pesakit kini dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh 30 minit manakala baki 30 peratus dalam masa 60 hingga 90 minit.

“Ini merupakan satu pencapaian yang menunjukkan peningkatan nyata dalam kecekapan perkhidmatan kesihatan awam,” ujarnya lagi.
Lukanisman menambah, pelan pendigitalan jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menyasarkan penambahan 588 klinik kesihatan dan 112 hospital lagi menjelang 2029 dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion disediakan oleh KKM.

Dalam pada itu, KKM juga memberi jaminan bahawa keselamatan siber dan perlindungan data peribadi pesakit merupakan aspek utama dalam pelaksanaan sistem ini dengan penubuhan khas Bahagian Digital Kesihatan bagi menilai risiko serta memastikan sistem mematuhi piawaian keselamatan kerajaan.

“Negara seperti Singapura dan Australia juga menghadapi cabaran yang sama. Kita tidak terkecuali.

“Justeru, kita ambil langkah teliti agar semua data perubatan rakyat selamat, terlindung dan boleh diakses secara sah di fasiliti kesihatan di seluruh negara,” jelas beliau lagi.

BERITA LAIN

Tebedu berpotensi jadi pusat ekonomi sempadan

KUCHING: Tebedu berpotensi berkembang sebagai pusat ekonomi sempadan yang menghubungkan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia, menerusi perdagangan rentas sempadan, logistik dan pemasaran hasil pertanian. Ahli

BERITA TERBARU

Tebedu berpotensi jadi pusat ekonomi sempadan

KUCHING: Tebedu berpotensi berkembang sebagai pusat ekonomi sempadan yang menghubungkan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia, menerusi perdagangan rentas sempadan, logistik dan pemasaran hasil pertanian. Ahli