ARTIKEL

Julaihi bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Connecting Jepak di sebuah hotel di Bintulu pada Sabtu.

Sarawak perkasa liputan telekomunikasi di 337 lokasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerajaan Sarawak mengenal pasti 337 lokasi yang berdepan masalah blind spot telekomunikasi di sepanjang laluan utama negeri itu, termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road), dalam usaha memperluas liputan internet serta memastikan kesalinghubungan lebih menyeluruh.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata lokasi berkenaan dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Multimedia Authority (SMA), AZTECH dan SACOFA.

Katanya, langkah itu penting bagi mengenal pasti kawasan yang masih mempunyai jurang liputan, sekali gus membolehkan intervensi dilaksanakan untuk meningkatkan akses telekomunikasi kepada penduduk serta pengguna jalan raya.

“Masih ada blind spot, terutama sekali di laluan Pan Borneo, laluan Jalan Pesisir termasuk jambatan-jambatan Jalan Pesisir dan Second Trunk Road.

“Oleh itu, kita berbincang dengan pihak MCMC supaya liputan dapat diperluaskan di laluan Pan Borneo, Jalan Pesisir termasuk jambatan Jalan Pesisir dan Second Trunk Road,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Connecting Jepak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Julaihi berkata Kerajaan Sarawak mahu memastikan sebanyak mungkin lokasi yang dikenal pasti itu diliputi kemudahan telekomunikasi, termasuk menerusi pelaksanaan Jaringan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua.

“Kita mahu memastikan sebanyak mungkin kawasan mendapat liputan.

Itu akan kita lakukan di bawah JENDELA Fasa Pertama. Saya difahamkan kita ada 337 lokasi yang telah kita kenal pasti sebagai sebahagian daripada JENDELA Fasa Dua dan kita berharap kita dapat memperluaskan lagi di tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata keadaan muka bumi Sarawak yang luas, berbukit-bukau dan bergunung-ganang antara cabaran utama dalam menyediakan liputan telekomunikasi secara menyeluruh, selain masih terdapat kawasan tertentu yang tidak menerima isyarat dengan baik.

Menurutnya, usaha menangani blind spot itu adalah sebahagian daripada pendekatan intervensi Kerajaan Sarawak bagi melengkapkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, peluasan liputan berkenaan bukan sahaja penting bagi memastikan penduduk mendapat akses internet lebih baik, malah meningkatkan tahap kesalinghubungan pengguna yang melalui laluan utama negeri, khususnya di kawasan yang sebelum ini berdepan masalah liputan.

Julaihi berkata peluasan liputan telekomunikasi akan terus diberi perhatian selaras dengan agenda transformasi digital Sarawak bagi memastikan penduduk di seluruh negeri, termasuk kawasan luar bandar, tidak tercicir daripada arus pembangunan digital.

“Kita mahu membawa semua penduduk kawasan luar bandar ke dalam arus pembangunan. Kalau boleh kita percepatkan, lebih bagus,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU