KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memastikan kemudahan sukan di negeri itu dinaik taraf bagi memenuhi keperluan atlet, termasuk dalam acara berbasikal, sekali gus menyediakan kemudahan lebih baik kepada atlet untuk menjalani latihan dan meningkatkan prestasi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan velodrom sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa prasarana sukan negeri.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga bersedia meneliti dan menaik taraf kemudahan sukan berdasarkan standard serta kemudahan yang terdapat di negeri lain bagi memastikan atlet Sarawak mendapat prasarana latihan yang sewajarnya.
“Datuk Seri (Abdul) Karim ada kata tentang tempat untuk mereka berlatih basikal, velodrom.
“Saya sudah meluluskan velodrom untuk dibina di Sarawak.
“Kalau semua acara sukan ini kita bangunkan kemudahannya, kita hantar pegawai kita melihat kemudahan di negeri lain dan minta kemudahan dinaik taraf, Kerajaan GPS sudah bersetuju untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, di Hotel Raia, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari menegaskan, Sarawak juga perlu menjadikan kejayaan New Zealand dalam bidang sukan sebagai inspirasi untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
“New Zealand tidak besar negaranya dan jumlah penduduknya juga tidak ramai, tetapi mereka berjaya menjadi juara dalam banyak acara di Sukan Olimpik.
“Kalau New Zealand boleh, takkan Sarawak tidak boleh?” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata cadangan pembinaan velodrom berkenaan kini masih pada peringkat awal, termasuk penelitian terhadap lokasi pembinaannya.
Jelasnya, pembentangan mengenai cadangan itu sudah dibuat sebanyak dua kali kepada Premier Sarawak dan pembinaannya berkemungkinan dipertimbangkan selepas SUKMA Selangor 2026.
“Pada masa ini, masih lagi di peringkat awal dan lokasi untuk pembinaannya juga sudah dikenal pasti.
“Lebih kurang di kawasan kompleks sukan,” katanya.
Menurutnya lagi, velodrom berkenaan akan dibina mengikut piawaian antarabangsa yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), bagi membolehkan Sarawak menganjurkan pertandingan berbasikal bertaraf antarabangsa pada masa depan.
“Kita akan ikut piawaian itu kerana tidak guna kita bina velodrom tetapi tidak boleh digunakan untuk pertandingan antarabangsa.
“Ia akan menjadi salah satu kemudahan sukan yang boleh kita banggakan, selain membolehkan kita membawa kejohanan antarabangsa atau perlumbaan berbasikal ke Sarawak,” ujarnya.



