KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan Bengkel Latihan dan Pensijilan LSVT BIG® secara bersemuka, khususnya bagi meningkatkan kemahiran dalam pemulihan penyakit Parkinson.

Presiden Persatuan Parkinson Kuching (KPS) Easter Sim berkata, bengkel tersebut yang diadakan pada 17 dan 18 Julai 2026 merupakan sebahagian daripada pelan induk dua tahun persatuan.
“Pelan ini bertujuan meningkatkan akses kepada pemulihan dan penjagaan khusus bagi penyakit Parkinson di Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bengkel anjuran KPS dan P Laila Stroke Care Centre (LSCC) itu menghimpunkan lebih 40 profesional pemulihan, ahli fisioterapi dan terapi cara kerja dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Singapura serta Filipina.

“Penyertaan ini mencerminkan peningkatan permintaan latihan pemulihan khusus bagi membantu pesakit Parkinson mengekalkan pergerakan, kebebasan dan kualiti hidup,” jelasnya.
Beliau menambah, bengkel ini dikendalikan oleh Ketua Pegawai Klinikal LSVT BIG, Laura Guse dan Pakar Klinikal LSVT BIG, Jennifer Tuccitto dari LSVT Global, Inc., Amerika Syarikat yang berpengalaman luas dalam rawatan gangguan neurologi serta latihan profesional antarabangsa.

Dalam pada itu, katanya, acara kemuncak bengkel berlangsung pada petang hari kedua menerusi sesi latihan interaktif bersama dengan kira-kira 20 sukarelawan yang menghidap penyakit Parkinson.



