ARTIKEL

Datuk Seri Fatimah Abdullah. Foto Ramidi Subari

Sarawak perkukuh agenda warga emas selaras PCDS 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyambut baik penekanan Yang di-Pertua Negeri Sarawak terhadap kesejahteraan warga emas yang disifatkan bertepatan dengan tunjang Keterangkuman Sosial di bawah aspirasi Pelan Strategik Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Menteri Pembangunan Wanita, Kesejahteraan Komuniti dan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia turut disokong melalui dapatan kajian “Kajian Persediaan Sarawak Menuju Penuaan Penduduk: Profil dan Isu Penuaan dalam Kalangan Warga Emas di Sarawak” serta resolusi Persidangan Antarabangsa Penuaan Sarawak (SICA) 2025.

Kajian bersama Universiti Teknologi Swinburne Sarawak melibatkan 6,094 responden di 12 bahagian dan 45 daerah mendapati keperluan untuk memperkukuh kesihatan komuniti, perlindungan sosial, sokongan penjaga, infrastruktur, persekitaran mesra usia dan penglibatan aktif warga emas dalam komuniti.

“Sehubungan itu, Kementerian telah melaksanakan sesi libat urus dan bengkel bersama rakan strategik dan pemegang taruh berkaitan bagi meneliti serta menyelaras pelan tindakan dan langkah susulan secara bersepadu sebagai persediaan Sarawak ke arah negeri menua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini semalam.

Di samping itu Fatimah berkata, kementerian turut meneruskan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif berkaitan kesejahteraan warga emas di seluruh negeri.

Antaranya termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) yang kini masing-masing berjumlah 30 dan lapan pusat beroperasi di seluruh Sarawak.

“Sehingga 30 April 2026, seramai 20,234 warga emas telah menyertai pelbagai aktiviti komuniti melalui inisiatif berkenaan dengan sokongan peruntukan kerajaan bagi memperkukuh penglibatan sosial dan kesejahteraan golongan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif Kad Emas Kenyalang (KGC) terus mencatat penyertaan menggalakkan apabila seramai 380,626 warga emas telah menjadi pemegang kad sejak diperkenalkan pada tahun 2020.

“Daripada jumlah itu, 14,517 pemegang KGC telah mengaktifkan kad digital melalui SarawakPASS dan kini menikmati diskaun, rebat serta perkhidmatan daripada 1,290 rakan niaga KGC di seluruh Sarawak,” katanya.

Dalam tempoh yang sama, beliau berkata, seramai 30,752 waris pemegang KGC telah menerima manfaat Bantuan Ihsan Kematian (BIK), yang melibatkan peruntukan sebanyak RM79.9 juta.

Beliau turut berkata, mulai Januari 2026, permohonan BIK telah dilaksanakan secara atas talian menerusi aplikasi SarawakPASS, sekaligus memudahkan pencapaian akses perkhidmatan, disamping meneruskan pengurusan permohonan secara manual.

Bagi Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB), Fatimah berkata, seramai 226,801 warga emas telah berdaftar sebagai penerima manfaat sehingga April 2026.

Katanya, Sehingga kini, skim ini melibatkan perbelanjaan RM86.3 juta dengan 257 daripada 477 klinik dan hospital swasta di Sarawak berdaftar sebagai panel SCHB bagi memberi akses kesihatan kepada warga emas.

Sementara itu katanya, Kementerian melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) akan melaksanakan sebanyak dua Kursus Penjagaan Asas Warga Emas tahun ini di Kabong dan Kanowit dengan sasaran penyertaan seramai 60 peserta di setiap daerah.

Beliau berkata, kursus ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai aspek penjagaan asas dan pengurusan warga emas melalui pendekatan pembelajaran yang menggabungkan elemen teori dan praktikal.

Selain itu, katanya, kementerian melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) juga akan melaksanakan dua Program Dementia Care Skills – Train the Trainer dan Program Dementia Care Skills – Family yang mensasarkan seramai 100 peserta di Kuching.

“Program ini memberi fokus kepada peningkatan kesedaran berkaitan demensia, memperkukuh sokongan dan pendidikan kepada penjaga serta memperluas pemahaman komuniti terhadap penjagaan demensia,” katanya.

BERITA LAIN

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil