ARTIKEL

DELEGASI… Sekitar lawatan delegasi Sarawak diketuai Snowdan di INACRAFT.

Sarawak Perkukuh Industri Kraf dan Kreatif di INACRAFT 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JAKARTA: Pelibatan Sarawak dalam Pameran Perdagangan Kraf Antarabangsa Jakarta (INACRAFT) 2026 dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan industri kraf dan kreatif negeri di pasaran serantau serta global, seiring usaha memperluas jaringan kerjasama dan peluang ekonomi berasaskan warisan.

DELEGASI… Sekitar lawatan delegasi Sarawak diketuai Snowdan di INACRAFT.

Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, delegasi rasmi negeri menghadiri majlis perasmian INACRAFT 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Jakarta (JICC), hari ini.

Majlis perasmian pameran berprestij berkenaan disempurnakan oleh Menteri Ekonomi Kreatif Indonesia, Teuku Riefky Harsyal. INACRAFT 2026 berlangsung selama lima hari bermula 4 hingga 8 Februari ini.

Delegasi Sarawak diketuai oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan. Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kraf Sarawak, Suriya Charles; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Awang Ikman Awang Sepian, serta ahli Lembaga Pengarah Majlis Kraf Sarawak dan wakil Kraftangan Malaysia (Sarawak).

Kehadiran delegasi Sarawak ke pameran tersebut turut diiringi oleh Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Bapak Dr Abdullah Zulkifli bersama isteri, Ibu Irma Zulkifli, serta beberapa pegawai kanan.

INACRAFT 2026 mengangkat tema “Dari Kampung Pintar ke Pasaran Global: Meneroka dan Meraikan Usahawan Wanita dalam Industri Kraf” memberi penekanan peranan perusahaan kreatif dalam pemeliharaan warisan budaya, pembangunan komuniti mampan serta pemerkasaan keusahawanan, khususnya dalam kalangan penggiat kraf wanita.

Sepanjang pameran itu, penggiat kraf Sarawak mempamerkan hasil kraf kreatif dan berciri unik di reruai khas Sarawak di bawah Pavilion Asia Pacific Craft Alliance, sekali gus memperkenalkan identiti dan keunikan kraf tempatan kepada pasaran antarabangsa.

Pembukaan rasmi reruai Sarawak disempurnakan oleh Datuk Snowdan Lawan yang turut menyatakan penghargaan penganjuran INACRAFT sebagai platform penting untuk memperluas pasaran dan kerjasama rentas sempadan dalam industri kreatif.

Selain menghadiri majlis perasmian, delegasi Sarawak turut mengadakan sesi libat urus bersama-sama pemain industri, agensi berkaitan serta melawat pameran terpilih yang menampilkan ekspresi kraf tradisional dan kontemporari, pameran digital serta inovasi reka bentuk mampan.
-tamat-

BERITA LAIN

BERITA TERBARU