ARTIKEL

Sarawak Perkukuh Kerjasama Strategik dengan UBC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Usaha Sarawak memperkasa pembangunan bakat serta penyelidikan dalam sektor perlombongan dan kuari hijau mencapai satu lagi kemajuan penting apabila delegasi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) mengadakan lawatan rasmi ke University of British Columbia (UBC), Vancouver, Kanada, baru-baru ini.

Kemuncak lawatan tersebut ialah pemeteraian Penyataan Kerjasama (SoC) antara UBC, MUDeNR dan CENTEXS.

Delegasi CENTEXS dan MUDeNR merakam gambar semasa kunjungan ke UBC, Vancouver, Kanada, baru- baru ini.

Ia sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama strategik meliputi latihan profesional pascaijazah dalam bidang perlombongan dan kuari, pengajian sarjana muda serta pascasiswazah dalam bidang perlombongan dan geologi, penyelidikan serta inovasi berkaitan sumber mineral, pembangunan mineral mapan dan pembangunan tenaga kerja.

Lawatan tersebut merupakan kesinambungan hasil rundingan awal yang dimulakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa kunjungan rasmi beliau ke Bradshaw Research Institute for Minerals and Mining (BRIMM), UBC pada Jun 2024.

Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman turut mengadakan pertemuan bersama dengan kepimpinan UBC bagi menzahirkan komitmen Sarawak dalam membangunkan sektor perlombongan dan kuari hijau secara bertanggungjawab, terancang dan mampan.

Sektor perlombongan dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam sektor ekonomi utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, CENTEXS bersama MUDeNR sedang melaksanakan usaha menyeluruh pembangunan bakat melalui bengkel pembangunan tenaga kerja industri mineral yang menghimpunkan 127 peserta dari 51 syarikat perlombongan dan kuari serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan latihan dan pembinaan kapasiti, CENTEXS dan MUDeNR turut merangka beberapa inisiatif termasuk penganjuran Mineral Industry Talent Development and Workforce Workshop serta pelancaran Green Mining and Quarrying Academy yang akan berlangsung pada 10–11 Disember depan di CENTEXS.

Mengukuhkan lagi kerjasama tiga hala ini, satu Memorandum Persefahaman (MoA) antara UBC, MUDeNR dan CENTEXS dijadual ditandatangani pada Februari 2026, sekali gus mengukuhkan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai peneraju amalan perlombongan dan kuari hijau di rantau ini.

BERITA LAIN

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi

BERITA TERBARU

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi