KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) akan menjalinkan kerjasama dengan PT Adaro Energy Indonesia bagi membangunkan tenaga hidro di Kalimantan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu dipersetujui semasa lawatan kerja beliau ke Jakarta pada Selasa bagi mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, kedua-dua syarikat akan membangunkan lebih banyak projek hidro di Sungai Kayan, Kalimantan.
“Sarawak memerlukan lebih ramai jurutera di sana untuk bekerjasama dengan jurutera dari Indonesia. Ini bermakna kita akan bekerja di luar sempadan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Kewangan Khas (BKK) Pelajar Sarawak Di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia, dekat sebuah hotel terkemuka di ibu negara, hari ini.
Firma Jepun, Sumitomo, turut menyatakan komitmen untuk terlibat dalam pembangunan industri tenaga hidrogen di Sarawak semasa lawatan kerjanya ke Jepun, baru-baru ini.
Menurut Abang Johari, keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan Sarawak kian meningkat, sebagaimana yang dibuktikan melalui pertambahan pelaburan dalam pelbagai sektor.
“Menurut mereka, Sarawak adalah wilayah yang progresif dalam bidang teknologi, bermakna kita mempunyai tenaga kerja yang boleh dilatih,” ujar beliau.
Beliau menyeru anak-anak Sarawak untuk terus menimba ilmu pengetahuan bagi menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Bumi Kenyalang.
Abang Johari berkata, generasi muda akan menjadi pemain global dalam ekonomi baharu terutamanya apabila Sarawak sedang giat membangunkan sektor strategik seperti tenaga hijau dan hidrogen.
“Dalam kata lain, anak-anak Sarawak boleh ditempatkan di seluruh dunia dan mereka boleh meneruskan kerjaya dalam apa-apa bidang yang diinginkan,” kata beliau.



