SPAOH: Kerajaan kini memberi tumpuan dalam pengurusan dan penyelarasan bekalan air bagi memastikan keperluan asas penduduk terus dipenuhi sepanjang tempoh cuaca panas dan kering berterusan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tahap kesiapsiagaan di semua kawasan akan terus diperkukuh, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan serta kemungkinan kesan fenomena El Nino yang dijangka bermula Oktober depan.
Menurutnya, keadaan cuaca semasa turut menimbulkan kebimbangan kedudukan bekalan air, justeru semua agensi berkaitan perlu bersiap siaga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada penduduk yang terjejas.
“Sekarang nampaknya bekalan air juga tergugat. Jadi kita perlu bersiap siaga menghadapi keadaan cuaca yang terus panas dan kering,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Dialog Khas Bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban, semalam.
Dialog tersebut diadakan bagi memperincikan tindakan dan langkah segera dalam menangani masalah bekalan air yang mungkin berlaku akibat keadaan cuaca panas dan kering.
Uggah berkata, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah turut terlibat dalam usaha menyelaras bantuan kepada penduduk yang berdepan masalah kekurangan bekalan air.
Beliau mengulangi gesaan agar bekalan air dihantar ke kawasan terjejas dalam tempoh 12 jam selepas permohonan diterima, selain memastikan bekalan air mineral serta kenderaan untuk tujuan penghantaran sentiasa mencukupi.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) berkata, JPBS turut memantau dan menguruskan keadaan bekalan air di seluruh Sarawak menerusi bilik operasi bagi mengenal pasti kawasan yang mengalami kekurangan air serta menyelaras keperluan bantuan dengan lebih berkesan.
Setakat ini, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong membekalkan sebanyak 45,000 kotak air mineral kepada penduduk yang terjejas akibat masalah kekurangan bekalan air.
Dalam perkembangan berkaitan, JBALB Bahagian Betong turut merancang untuk membekalkan air mentah ke beberapa kawasan susulan penutupan Loji Rawatan Air Lichok dan Loji Rawatan Air Spaoh.
Beberapa buah lori bersama tenaga kerja akan digerakkan bagi memastikan bekalan berkenaan dapat disalurkan dengan segera kepada penduduk yang memerlukan.



