KOTA SAMARAHAN: Sarawak menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan memperkukuh strategi ekonomi berasaskan teknologi, inovasi dan pendigitalan untuk muncul sebagai peneraju tenaga hijau serantau menjelang 2030.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia bagi memastikan negeri ini kekal berdaya saing di peringkat ASEAN.
“Pelan pembangunan lima tahun itu menekankan hala tuju baharu ke arah ekonomi hijau dan digital dengan fokus pemanfaatan teknologi canggih, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi serta peningkatan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Pro Canselor UNIMAS terbabit berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS sidang kelima, pagi tadi.
RMK-13 digerakkan melalui 15 sektor dan pemangkin sosioekonomi utama, antaranya peralihan tenaga, pembuatan dan pembangunan PKS, pertanian komersial, pelancongan dan industri kreatif, perhutanan dan pemuliharaan, perlombongan dan minyak & gas, infrastruktur, pengangkutan, perkhidmatan perniagaan, pendigitalan, inovasi, pendidikan, perkhidmatan sosial, transformasi kerajaan serta pengurusan sisa dan ekonomi kitaran.

Ketika ini tambah beliau, sebanyak 62 peratus tenaga elektrik Sarawak dijana daripada sumber boleh diperbaharui seperti hidro dan solar.
Sarawak turut menyasarkan peningkatan kapasiti tenaga hijau kepada 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt pada 2035, seiring dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai ‘Bateri ASEAN’ – pembekal utama tenaga bersih di rantau ini.
“Sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus diperkukuh dengan lebih 45,000 usahawan tempatan menerima sokongan melalui program pembiayaan, pemasaran dan pendigitalan bagi memperluas potensi pasaran serta memperkukuh daya saing.
“Sektor minyak dan gas juga terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negeri apabila PETROS dan Projek Metanol Bintulu membolehkan Sarawak mengurus sumbernya sendiri, serta meneroka peluang dalam teknologi penangkapan karbon untuk memastikan pembangunan kekal mampan,” katanya.
Dari segi infrastruktur tambah Uggah, pelaksanaan projek besar seperti Rangkaian Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua dan Rangkaian Grid Bekalan Air Sarawak sedang memperkukuh keterhubungan antara wilayah.
Setakat ini katanya, lebih 1,418 kilometer jalan dan 30 jambatan sedang dalam proses pembinaan serta naik taraf.
“Dengan asas ekonomi yang kukuh serta perancangan strategik di bawah RMK-13, Sarawak kini berada pada landasan yang tepat untuk muncul sebagai negeri maju dan berdaya tahan, berpaksikan kepada tenaga hijau, inovasi digital dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

