KUCHING: Sarawak perlu memanfaatkan kedudukan strategiknya di Borneo dengan melihat negeri ini sebagai hab ekonomi serantau, bukan sekadar pasaran domestik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedudukan Sarawak yang berdekatan Indonesia dan Brunei serta sebahagian daripada ASEAN membuka peluang dalam sektor tenaga, perdagangan, pelancongan, logistik, teknologi, pengeluaran makanan dan perkhidmatan profesional.
“Kita berada di Pulau Borneo. Indonesia sedang membangunkan Nusantara di Kalimantan, Brunei berada di sebelah kita dan kita adalah sebahagian daripada ASEAN.
“Asia pula terus menjadi antara pusat utama pertumbuhan ekonomi global.
Jadi, kita perlu melihat kedudukan Sarawak dengan perspektif yang berbeza,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak (SCOPE) 2026: Daripada Visi kepada Realiti dalam Perjalanan Transformasi Sarawak di sini, hari ini.
Syarikat tempatan perlu melihat pasaran yang lebih luas dengan meneroka peluang di rantau ini, bukan hanya bergantung kepada permintaan domestik.
Beliau berkata, pembangunan Nusantara di Kalimantan turut membuka peluang kepada Sarawak berdasarkan kedudukan geografi yang sama di Pulau Borneo, manakala hubungan dengan Indonesia dan Brunei boleh diperkukuh menerusi perdagangan, tenaga, logistik dan perkhidmatan.
Katanya, Sarawak turut memperkukuh jaringan perdagangan dan pelaburan luar menerusi pejabat di Singapura dan Brunei, selain merancang membuka pejabat di Pontianak bagi memperluas hubungan dengan pasaran serantau.
Abang Johari berkata, usaha menjadikan Sarawak hab ekonomi serantau memerlukan rangkaian perhubungan fizikal, digital, udara dan tenaga yang kukuh.
“Perhubungan bukan sekadar mengenai infrastruktur tetapi apa yang membolehkan infrastruktur itu lakukan seperti pergerakan manusia dan barangan, akses kepada pasaran, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan aktiviti ekonomi baharu,” katanya.




