KUCHING: Aset industri yang tidak digunakan tidak seharusnya dibiarkan susut nilai kerana ia masih mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, pertumbuhan Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada pelaburan baharu, sebaliknya modal sedia ada perlu terus diaktifkan dan dimanfaatkan.
“Sarawak sedang melalui proses transformasi dengan industri sedia ada berkembang.
“Sektor baharu memasuki pasaran dan Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemain serantau dalam minyak dan gas, tenaga hijau serta industri berpertumbuhan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran BidMyAsset Borneo di sebuah hotel, di sini.
Menurutnya, dua keutamaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Sarawak yang berkait rapat dengan transformasi itu ialah ekonomi kitaran dan pengoptimuman aset.
“Ekonomi kitaran bertujuan memastikan sumber dan modal kekal produktif selama mungkin, bukannya dilupuskan terlalu awal.
“Pengoptimuman aset pula bermaksud menggunakan sepenuhnya aset sedia ada Sarawak sebelum mencari perkara baharu,” ujarnya.
Menjelas lanjut, peralatan serta jentera yang tidak digunakan dan lebihan aset industri merupakan modal yang tidak lagi menyumbang kepada negeri sekiranya dibiarkan terbiar.
“Modal yang terbiar dalam bentuk peralatan yang tidak digunakan, jentera yang tidak lagi digunakan atau lebihan aset industri ialah modal yang tidak menyumbang kepada negeri.
“Ini merupakan kos yang tidak mampu ditanggung Sarawak ketika kita mempercepat pencapaian matlamat pembangunan,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah memberi isyarat jelas kepada sektor swasta mengenai kepentingan pengurusan aset sedia ada dan mengharapkan syarikat yang beroperasi di negeri ini menilai semula cara aset mereka diuruskan.
“Yang kita perlukan sebagai balasan ialah syarikat yang beroperasi di negeri ini mengambil serius isyarat tersebut.
“Kita mahu lihat cara mereka menguruskan aset dan membuat keputusan yang memastikan modal kekal aktif serta produktif dalam ekonomi Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah BidMyAsset Borneo Sdn. Bhd, Amirul Annuar berkata, sasaran Sarawak untuk meningkatkan saiz ekonominya kepada RM282 bilion menjelang 2030 di bawah PCDS 2030 memerlukan syarikat terus berkembang dan menaik taraf mesin, teknologi serta kemudahan.
Katanya, proses naik taraf itu turut menimbulkan persoalan mengenai nasib peralatan lama yang tidak lagi diperlukan selepas syarikat memperoleh mesin atau teknologi baharu.
“Peralatan lama sering dibiarkan di gudang atau kilang, mengambil ruang dan semakin kehilangan nilai walaupun masih boleh digunakan serta berada dalam keadaan baik.
“Ia mungkin masih berfungsi dengan sempurna dan berada dalam keadaan baik, tetapi apabila perniagaan sudah bergerak ke hadapan, peralatan itu ditinggalkan dan akhirnya dianggap sebagai kerugian,” katanya.
Amirul berkata, isu berkenaan semakin ketara apabila industri di Sarawak terus berkembang, termasuk sektor perkayuan dan perhutanan yang sedang beralih kepada amalan lebih mampan.
Menurutnya, perubahan sama turut berlaku dalam sektor minyak dan gas, pembuatan serta pertanian apabila syarikat menyesuaikan operasi dengan keperluan semasa.
“Semakin lama aset tersebut terbiar, semakin banyak nilainya susut dan nilai yang hilang itu sebenarnya wang yang boleh dikembalikan kepada perniagaan,” katanya.



