ARTIKEL

RAKAM KENANGAN… Snowdan (tengah) bersama-sama Wee (pertama kiri) dan Billy Sujang (kedua kiri) merakam kenangan bersama peserta larian.

Sarawak perlu peruntukan tambahan untuk memperkasa industri pelancongan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan digesa agar memperuntukkan dana tambahan khususnya untuk meningkatkan industri pelancongan dan kesenian bagi menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, kementeriannya memerlukan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan susulan banyak kawasan berpotensi dikembangkan sebagai destinasi pelancongan di negeri ini.

“Dana tersebut bertujuan memudahkan penerokaan dan pembangunan di tempat-tempat pelancongan yang unik dan berpotensi untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa ke Sarawak. Sebagai contoh, orang awam baru-baru ini menemui banyak kawasan air terjun tersembunyi dalam hutan di Sri Aman dan Kapit.

“Justeru kami ingin mengembangkan tempat-tempat ini untuk menarik pelancong dan meningkatkan ekonomi komuniti tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Larian Amal Tadika St Faith ; Family Fun Run 2023 di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata Snowdan, peruntukan tambahan juga diperlukan untuk pelaksanaan acara-acara yang dianjurkan oleh orang awam dan tidak termasuk dalam Belanjawan negara sebelum ini.

“Kami ingin mempromosikan Sarawak secara agresif, dan disebabkan itu kami memerlukan peruntukan bajet yang sepadan dengan usaha,” katanya sambil menambah akan ada lebih banyak acara diaturkan untuk tahun depan.

Berhubung program larian amal berkenaan, Snowdan berkata seramai 500 peserta menyertai acara larian bagi pengumpulan dana untuk kerja penyelenggaraan dan peningkatan gereja dan tadikanya.

Katanya, penganjuran program itu adalah sebahagian daripada budaya di Sarawak selain daripada inisiatif Kerajaan Sarawak menjaga kebajikan dan hal-ehwal komuniti bukan Islam melalui Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU