KUCHING: Sarawak memerlukan sekolah sukan yang berprestasi tinggi setaraf Sekolah Sukan Bukit Jalil memandangkan negeri ini mempunyai ramai anak muda berbakat termasuk dari kawasan luar bandar, pesisir dan pedalaman.
ADUN Daro Dr Safiee Ahmad berkata, meskipun Sarawak memiliki Sekolah Sukan Negeri SMK Tabuan Jaya, namun beliau berpandangan model sedia ada ini wajar diperkasakan agar pembangunan atlet muda Sarawak tidak hanya bergantung kepada latihan semata-mata, tetapi turut disokong satu ekosistem yang lebih menyeluruh.
Katanya, ia merangkumi fasiliti sukan berkualiti, asrama yang kondusif, pemakanan atlet, jurulatih khusus, sokongan sains sukan serta keseimbangan antara akademik dan latihan.
“Sarawak mempunyai ramai anak muda yang berbakat dalam bidang sukan, termasuk dari kawasan luar bandar, pesisir dan pedalaman.
“Namun, tanpa sistem pembangunan akar umbi yang tersusun dan berterusan, bakat-bakat ini sukar digilap secara optimum sehingga ke peringkat SUKMA, Sukan SEA, Sukan Komanwel mahupun ke peringkat antarabangsa yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.
Sehubungan itu, beliau memohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia dan kementerian-kementerian berkaitan dapat mempertimbangkan penubuhan sebuah Sekolah Sukan Sarawak yang khusus ataupun sekurang-kurangnya menaik taraf SMK Tabuan Jaya sebagai pusat pembangunan atlet yang lebih menyeluruh.
Dalam perkembangan lain, Safiee berkata keselamatan, keselesaan dan hak pelajar di luar bandar juga harus diambil perhatian agar mereka dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif dan selamat.
Katanya, tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang pelajar baru-baru ini amat mendukacitakan dan perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, ancaman hakisan tanah di SK Batang Lassa telah lama menimbulkan kebimbangan keselamatan murid dan warga sekolah.
Justeru, katanya, pelaksanaan bangunan sekolah sementara perlu disegerakan sebagai Langkah interim keselamatan.

