KUCHING: Sarawak memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi teknologi dan peralihan tenaga menerusi siri pertemuan strategik bersama dengan kerajaan Bavaria serta institusi penyelidikan terkemuka di Jerman.
Delegasi kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel itu mengadakan sesi libat urus bersama-sama Ahli Parlimen Bavaria, Martin Huber bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan teknologi masa depan dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Menurut beliau, Sarawak komited untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa yang dapat menyokong agenda pembangunan negeri, khususnya dalam bidang berkaitan kemampanan, kemajuan teknologi dan kepelbagaian ekonomi.
“Kerjasama strategik seperti ini penting bagi membolehkan kita memanfaatkan pengalaman serta kepakaran global dalam usaha membangunkan ekonomi yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“ Ia menjadi platform penting untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan pembangunan AI, strategi inovasi, transformasi digital serta inisiatif peralihan tenaga yang semakin menjadi tumpuan global,” katanya.

Dalam sesi tersebut, delegasi Sarawak turut berkongsi aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab serantau tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital dan teknologi baharu selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang negeri.
Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam bidang pertukaran pengetahuan, pembangunan kapasiti, penyelidikan bersama serta peluang pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Terdahulu, delegasi Sarawak mengadakan sesi libat urus bersama kumpulan pemikir Universiti Teknikal Munich (TUM), antara institusi penyelidikan dan teknologi terkemuka di Eropah.
Sesi tersebut melibatkan Dekan Sekolah Sains Sosial dan Teknologi TUM, Profesor Urs Gasser serta Pengarah Urusan TUM Think Tank di Munich School of Politics and Public Policy, Markus Siewert.
Perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur kedaulatan AI, inovasi teknologi, peralihan tenaga serta peranan institusi penyelidikan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

