KUCHING: Sarawak sedang memperluas pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP) dalam pengurusan kemudahan sebagai langkah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pengurusan aset awam di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan ini membolehkan jabatan berkenaan beralih peranan daripada pengendali utama kepada pengawal selia strategik, pentadbir kontrak dan pengurus prestasi, dengan memberi tumpuan kepada tadbir urus, piawaian perkhidmatan, pemantauan pematuhan serta perancangan jangka panjang.
Katanya, pendekatan tersebut juga boleh diperluas kepada bidang pengurusan kemudahan lain termasuk perkhidmatan sokongan seperti pengurusan keselamatan bangunan kerajaan, landskap serta operasi kemudahan penting yang lain.

“Dengan memanfaatkan keupayaan sektor swasta, kerajaan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan, mengoptimumkan sumber serta memastikan kemudahan awam diurus dengan lebih berkesan.
“Transformasi ini mewakili perubahan lebih luas dalam cara kita melihat pengurusan kemudahan, yang bukan lagi terhad kepada menangani kerosakan atau melaksanakan penyelenggaraan rutin,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pengurusan Fasiliti Asia Kelima 2026 (FMAC2026) bertemakan Pengurusan Fasiliti Mampan: Manfaat Holistik kepada Semua Pemegang Taruh, di sini hari ini.
Abu Bakar berkata pengurusan kemudahan juga menekankan aspek memastikan aset awam kekal selamat, boleh dipercayai, cekap dan sesuai digunakan sepanjang keseluruhan kitar hayatnya.
Melalui pendekatan baharu, jelasnya kerajaan akan beralih daripada melaksanakan sendiri setiap fungsi operasi kepada memperkukuh peranannya sebagai pemilik aset yang lebih bijak.
“Ini bermakna menetapkan piawaian yang jelas, mendapatkan perkhidmatan secara berkesan, mengurus kontrak secara profesional, memantau prestasi dan memastikan nilai untuk wang,” katanya.



