KUCHING: Sarawak memperluas jaringan kerjasama e-sukan antarabangsa menerusi pelibatan wakil Rusia dan Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IESF) sebagai langkah memperkukuh persiapan penganjuran Sukan SEA 2027.
Usaha itu menjadi antara tumpuan Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) menerusi majlis makan malam jaringan strategik di Muzium Budaya Borneo, malam tadi, yang menghimpunkan pemimpin industri, badan e-sukan antarabangsa serta pegawai kanan Kerajaan Sarawak.
Pertemuan berkenaan membuka peluang kepada Sarawak memanfaatkan kepakaran dan pengalaman antarabangsa dalam pengurusan kejohanan, pembangunan bakat serta penerokaan kerjasama industri menjelang temasya sukan dwitahunan itu.
Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama rentas negara bagi memperluas peluang pelaburan, perniagaan dan pengkomersialan industri e-sukan di Sarawak.

Antara delegasi yang hadir ialah Ahli Lembaga Persekutuan E-Sukan Rusia (RESF), Constantine Surkont; Pengarah Media IESF, Laura Elizabeth; serta Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kin Global, Vincent Chai.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee, dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Morshidi Fredrick.
Kehadiran delegasi berkenaan memberi ruang kepada pertukaran pandangan mengenai keperluan penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa, khususnya aspek teknikal, penyelarasan acara dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam industri e-sukan.
Inisiatif tersebut selaras dengan persediaan Sarawak sebagai salah satu kluster tuan rumah Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027, dengan Kuching dijadual menjadi lokasi pertandingan e-sukan.
Selain persediaan temasya, SAREX26 turut mengetengahkan potensi e-sukan sebagai industri yang mampu membuka peluang kerjaya kepada generasi muda, termasuk dalam pengurusan pertandingan, penyiaran, teknologi dan pembangunan kandungan digital.
Ekspo anjuran Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 November di Perkampungan Sukan Sarawak itu turut mempertandingkan pelbagai kejohanan e-sukan dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000.
Antara pengisian lain ialah Bengkel Pensijilan Krew E-Sukan, pameran industri, aktiviti komuniti serta sesi perkongsian ilmu bersama wakil dan pemimpin industri antarabangsa.
Program pensijilan berkenaan turut menjadi platform untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam pengurusan pertandingan, sekali gus membantu menyediakan petugas yang berpengalaman menjelang penganjuran Sukan SEA 2027.
SAREX26 dijadual melabuhkan tirai hari ini menerusi majlis penutupan bermula jam 7 malam, yang turut menampilkan sesi perbincangan bersama delegasi antarabangsa mengenai peluang perniagaan dan kerjasama industri.
Penganjuran ekspo tersebut sekali gus menjadi medan memperkukuh hubungan Sarawak dengan pemain industri antarabangsa, selain menyokong pembangunan ekosistem e-sukan yang lebih berdaya saing menjelang Sukan SEA 2027.



