ARTIKEL

Profesor Madya Dr Mazlan Ali

Sarawak perlukan formula tetap pemberian khas Persekutuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memerlukan formula tetap untuk pengiraan pemberian khas Persekutuan bagi menjamin kepastian kewangan jangka panjang, sekali gus memperkukuh autonomi fiskal negeri dalam menentukan keutamaan pembangunannya.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, mekanisme pengiraan yang lebih konsisten penting bagi memastikan perancangan kewangan Sarawak tidak terlalu bergantung pada pertimbangan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.

Katanya, pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah yang diterima, tetapi juga keupayaannya untuk menjamin pembiayaan pembangunan negeri secara mampan.

“Pemberian khas interim sebanyak RM1.5 bilion dilihat sebagai perkembangan positif. Namun, usaha memuktamadkan formula pengiraan yang lebih jelas, termasuk cadangan berasaskan peratusan hasil, penting bagi memberikan kepastian fiskal kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini bagi mengulas pembentangan Belanjawan 2027.

Menurut beliau, formula yang dipersetujui akan membolehkan perancangan kewangan negeri dilaksanakan dengan lebih teratur kerana Kerajaan Sarawak mempunyai asas yang lebih jelas untuk mengunjurkan pendapatan serta menyusun keutamaan perbelanjaan bagi jangka panjang.

Katanya, keperluan itu turut berkait dengan usaha memperkukuh autonomi kewangan Sarawak agar negeri itu mempunyai ruang yang lebih luas untuk menyalurkan sumber kepada sektor strategik, termasuk tenaga hijau seperti hidrogen dan solar, ekonomi digital serta infrastruktur pengangkutan di Borneo.

“Pelaburan dalam sektor berkenaan memerlukan perancangan jangka panjang dan pembiayaan berterusan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing serta mewujudkan peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik kepada rakyat.

“Dalam konteks Belanjawan 2027, Sarawak menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM16.2 bilion, meningkat RM1.1 bilion berbanding RM15.1 bilion pada 2026.

“Bagaimanapun, jumlah peruntukan yang diluluskan tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan pembangunan kerana keberkesanannya perlu dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan projek serta perubahan yang dirasai rakyat,” jelasnya.

Dr Mazlan berkata, antara penanda aras penting ialah kualiti pembangunan yang mampu merapatkan jurang taraf hidup antara penduduk bandar dengan penduduk di kawasan pedalaman, selain memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual tanpa mengalami kelewatan atau terbengkalai.

Katanya, kecekapan pelaksanaan juga boleh dinilai berdasarkan kesan penurunan kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk meluluskan projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta, khususnya dari segi keupayaan mempercepat pelaksanaan projek.

“Pada masa sama, keberkesanan peruntukan perlu diterjemahkan melalui pengurangan bilangan sekolah daif, penambahbaikan kemudahan kesihatan luar bandar serta peluasan liputan internet berkualiti di kawasan pedalaman.

“Impak ekonomi juga perlu diberi perhatian, terutama sejauh mana peruntukan Persekutuan menyokong rantaian nilai tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta membantu mengurangkan kemiskinan tegar dalam kalangan penduduk Sarawak,” jelasnya.

Dalam konteks hubungan Persekutuan-negeri, beliau berkata, tuntutan mengenai pemberian khas turut berkait dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya bagi memastikan pengaturan kewangan mengambil kira kedudukan Sarawak serta keperluan pembangunan negeri.

Katanya, autonomi kewangan yang lebih kukuh tidak bermaksud mengetepikan tanggungjawab Persekutuan, sebaliknya memberikan ruang kepada Sarawak untuk merancang pembangunan dengan lebih berkesan melalui penyelarasan keutamaan dan pembiayaan antara kedua-dua kerajaan.

“Justeru, pemuktamadan formula pemberian khas yang jelas dan mampan penting bagi memastikan Sarawak mempunyai asas kewangan yang lebih kukuh untuk merancang pembangunan secara berperingkat, memperluas pelaburan strategik serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU