KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi membantu membaik pulih sekolah mubaligh dan sekolah Cina di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, susulan itu kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan RM100 juta kepada Unifor pada tahun ini.
“Sebahagian daripada peruntukan yang disalurkan itu adalah untuk membantu membaik pulih rumah ibadat, yang besarnya adalah peruntukan bagi membantu sekolah termasuk sekolah mubaligh dan sekolah Cina.

“Usaha sebegini penting kerana kita akan mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan “Malaysia Interfaith Harmony Week Forum 2023” di Hotel Pullman, di sini, hari jni.
Menjelas lanjut, beliau berkata semenangnya terdapat sekolah mubaligh khususnya di luar bandar Sarawak yang memerlukan bantuan dalam hal baik pulih.
“Jadi, kita bantulah. Bukan sahaja untuk sekolah mubaligh tetapi juga sekolah Cina seperti Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua,” ujarnya.
Abang Johari ketika berucap pada Majlis Apresiasi Unifor di Hotel Kingwood Sibu pada November tahun lalu mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan menyalurkan peruntukan RM100 juta kepada Unifor tahun ini.
Ia juga sebagai tambahan yang mana dari tahun 2020 hingga 2022, Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM50 juta kepada Unifor, dan akan menambah RM50 juta lagi menjadikan keseluruhan peuntukan sebanyak RM100 juta tahun ini.



