ARTIKEL

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi ketika menerima cenderahati daripada ADUN Beting Maro, Razaili Gapor. | Foto TVS

Sarawak peruntuk RM283 juta naik taraf kemudahan asas di Betong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BELADIN: Kerajaan Sarawak terus komited meningkatkan kemudahan asas di kawasan luar bandar dengan meluluskan projek bernilai lebih RM283 juta bagi menambah baik bekalan air, elektrik dan telekomunikasi di bahagian Betong termasuk kawasan Beting Maro.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata bagi kemudahan air, sebuah loji baharu di Meludam dengan kapasiti lima juta liter sehari dan kos RM25.4 juta telah siap tahun lalu serta mula beroperasi sejak Oktober untuk membekalkan air terawat ke Beladin.

Selain itu, menurutnya loji rawatan air di Kaki Wong juga akan dinaik taraf daripada 30 juta liter kepada 60 juta liter sehari bagi menampung permintaan penduduk.

“Kerajaan turut meluluskan projek bernilai RM60 juta yang merangkumi pembinaan tangki aras tinggi, penggantian paip menyeberangi Sungai Saribas, serta kerja naik taraf sistem paip di Beladin dan Meludam.

“Sementara itu, penggantian paip lama sejauh 3 kilometer di jalan utama Beladin juga akan dilaksanakan dengan kos RM1.1 juta,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Karnival Beting Maro 2026 di Beladin pada Jumaat.

Katanya, dalam aspek tenaga elektrik pula, sejumlah RM198 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem penghantaran elektrik di Betong.

Projek berkenaan menurutnya meliputi pembinaan talian 33KV MVCC dari Saratok ke Simpang Kabong bernilai RM36 juta, talian dari Saribas ke Beladin, talian dari Saribas ke Saratok serta pembinaan pencawang baharu di Roban.

Langkah ini katanya dijangka meningkatkan kestabilan bekalan elektrik untuk kegunaan penduduk serta pengusaha kecil sederhana yang semakin memerlukan bekalan stabil bagi operasi harian.

Selain itu, tambah beliau yang juga ADUN Sebuyau, kerajaan Sarawak turut memperkukuh jaringan telekomunikasi melalui pembinaan 618 menara SMART di kawasan luar bandar.

Setakat ini, lebih 527 menara telah beroperasi dan angka itu terus meningkat dari semasa ke semasa.

Kemajuan ini, jelasnya, membolehkan banyak kawasan yang sebelum ini tiada liputan kini menikmati akses internet dan telefon yang lebih baik.

Julaihi menegaskan, usaha berterusan itu adalah sebahagian daripada perancangan memastikan Sarawak mencapai status wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030, sekali gus menjamin rakyat luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan moden setaraf kawasan bandar. — TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU