KUCHING: Kerajaan Sarawak komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan bekalan makanan negara, kata Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Malah menurutnya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah besar wang daripada tabung sendiri untuk tujuan ini.
“Sarawak komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pengeluaran dan bekalan makanan mencukupi pada harga yang berpatutan.
“Sarawak juga telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Peringkat Negeri dan Daerah, bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025) berjalan dengan lancar.
“Ia termasuk meningkatkan kawasan pengeluaran makanan melalui pengezonan dan pewartaan lebih banyak kawasan pengeluaran padi, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Zon Perindustrian Akuakultur (AIZ),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Tambahnya, langkah tersebut jelas menunjukkan bahawa dakwaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bertentangan kerana kerajaan negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan agensinya untuk memajukan sektor pertanian, khususnya industri makanan.
Antara Agensi Persekutuan yang telah ditubuhkan di Sarawak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) dan lain-lain.
Menurutnya lagi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) adalah di bawah kuasa Manred sebagai Wakil Pendaftar untuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPNS) di Sarawak, sekali gus menepis dakwaan berkaitan Sarawak tidak membenarkan LPP ditubuhkan di negeri ini.
Mengulas lanjut, negeri ini mempunyai seramai 177,124 petani berdaftar dengan 28 PPK di seluruh Sarawak, manakala PPNS bergabung dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Oleh itu, kenyataan bahawa Sarawak mempunyai petani berdaftar paling sedikit dengan agensi persekutuan adalah tidak benar kerana LPP hanya memperkenalkan sistem baharu untuk mendaftar petani secara dalam talian yang dikenali sebagai Peladang Klik.
“Dalam pada itu, petani di Sarawak juga berdaftar dengan LKIM, FAMA, DOF, dan lain-lain. Bagaimanapun, dana pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan kepada agensi-agensi ini sangat terhad dan tidak mencukupi untuk membangunkan wilayah yang besar seperti Sarawak.
“Bagi menampung kekurangan tersebut, kerajaan negeri telah menyediakan dana tambahan kepada agensi-agensi yang terlibat. Malah, sebagai rakan kongsi yang sama rata dalam Persekutuan Malaysia, kami percaya Sarawak harus diberikan keadilan jumlah dana pembangunan seperti di Semenanjung Malaysia dan Sabah,” katanya.



