KUCHING: Sarawak merancang menganjurkan Larian Obor Sukan SEA 2027 melibatkan seluruh bahagian negeri sebagai usaha mempromosikan temasya berprestij itu dan meningkatkan keterujaan rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata program tersebut akan memupuk penyatuan serta penglibatan komuniti apabila Larian Obor Sukan SEA 2027 secara fizikal menghubungkan setiap bahagian dan membawa semangat temasya itu ke seluruh pelosok Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan ketetapan Sekretariat Malaysia SEA Games (MASOC) untuk menumpukan penganjuran 17 acara sukan di Kuching sahaja selepas mengambil kira kemudahan dan infrastruktur sedia ada yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Gerald menjelaskan bahawa penilaian terperinci mendapati Kuching mempunyai rangkaian pengangkutan, penginapan dan fasiliti sukan yang paling sesuai serta mampu menampung keperluan atlet, pegawai dan delegasi.
Bagaimanapun, katanya penganjuran Larian Obor Sukan SEA 2027 merentasi bahagian-bahagian turut dirancang bagi memastikan keterlibatan rakyat di seluruh negeri.
“Program itu dijangka memupuk penyatuan dan penglibatan komuniti apabila obor temasya berprestij tersebut secara fizikal menghubungkan setiap bahagian, membawa semangat sukan dan rasa kebersamaan ke setiap pelosok Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sukan SEA 2027 seiring dengan rancangan pembangunan jangka panjang Sarawak.
Justeru katanya, temasya itu bakal menjadi pemangkin kepada pelbagai projek strategik negeri, termasuk sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dan penubuhan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, yang dijadualkan beroperasi pada 2027.
“Selain itu, penganjuran temasya berkenaan turut dianggap sebagai langkah penting untuk merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi kuasa sukan negara menjelang 2030.
“Pelaburan dalam kemudahan bertaraf dunia bukan sahaja meninggalkan legasi jangka panjang untuk pembangunan atlet, malah memberi nilai ekonomi melalui pelancongan sukan antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran Sukan SEA akan membuka peluang luas kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan pelaburan, sekali gus memberi impak berkekalan kepada ekonomi tempatan walaupun selepas temasya itu berakhir.

