ARTIKEL

Rundi (tengah) menyaksikan Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat (tiga kiri) dan Magne (tiga kanan) bertukar MoU yang ditandatangani berkenaan pembangunan pusat sumber genetik ikan tilapia hitam di Sarawak.

Sarawak rancang manfaat empangan hidroelektrik sebagai zon akuakultur, tumpu penternakan tilapia hitam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan merancang untuk memanfaatkan empangan hidroelektrik seperti Bakun, Murum, Baleh dan Batang Ai sebagai zon akuakultur masa depan, yang menumpukan kepada penternakan ikan tilapia hitam berskala besar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, dengan pembangunan itu, Sarawak diyakini berpotensi besar menjadi peneraju bukan sahaja dalam industri tilapia, tetapi juga seluruh sektor akuakultur pada masa depan.

“Kita mempunyai banyak empangan, Empangan Bakun sahaja sebesar Singapura dan buat masa ini hanya Empangan Batang Ai yang digunakan untuk akuakultur, tetapi kita mempunyai empangan lain seperti Bakun, Murum dan Baleh yang boleh dimanfaatkan.

“Apabila keadaan air di empangan matang, kita boleh mewujudkan zon akuakultur di situ,” katanya dalam sidang media sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Blue Future Holding dengan Kerajaan Sarawak berkenaan pembangunan pusat sumber genetik ikan tilapia hitam di sini, hari ini.

Justeru, Rundi menyifatkan pembangunan pusat sumber genetik ikan tilapia hitam tersebut sebagai pemangkin perubahan dalam usaha memodenkan penternakan tilapia di Sarawak.

“Kami sudah mengenal pasti tapaknya…kawasan yang diperlukan tidak besar dan kita mempunyai tanah yang mencukupi iaitu kira-kira 200 ekar dikenal pasti, dan mereka mungkin hanya memerlukan sekitar 50 ekar. Ini untuk tujuan penyelidikan dan kemudian akan dikembangkan.

“Matlamat saya adalah untuk membantu para penternak ikan yang selama ini berusaha tetapi tidak mendapat hasil yang memberangsangkan. Dengan kemudahan dan bekalan anak ikan yang berkualiti, mereka boleh membangunkan sistem sangkar ikan,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata projek itu bukan sekadar menubuhkan pusat pengedaran anak benih, tetapi juga pusat induk baka bagi memastikan pengeluaran tilapia yang berkualiti dan berdaya tahan tinggi.

Tambahnya, teknologi genetik yang dibangunkan oleh Genomar Genetics Asia – rakan penyelidikan Blue Future Holding juga mampu mempercepat proses kematangan ikan serta memendekkan tempoh pembesaran.

“Selama beberapa tahun, kami berusaha mencari jalan bagaimana untuk membangunkan industri tilapia di Sarawak dan satu perkara yang perlu kita lakukan ialah menukar pengeluaran tilapia merah kepada tilapia hitam.

“Tepat pada masanya untuk kita bekerjasama dengan Blue Future Holding dari Norway. Mereka sudah mempunyai pusat pengedaran di Perak, Semenanjung Malaysia dan menggunakan anak benih mereka untuk menghasilkan tilapia yang dieksport ke luar negara, terutama ke Amerika Syarikat.

“Matlamat kita juga ke arah itu. Kita mahu bukan sahaja menghasilkan untuk keperluan tempatan, tetapi juga menjadi pengeksport tilapia ke seluruh dunia khususnya ke Singapura dan rantau ASEAN serta Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Blue Future Holding, Odd Magne berkata penternakan tilapia hitam merupakan pilihan yang lebih mampan kerana ia bersifat ‘vegetarian’ dan tidak memerlukan sumber minyak marin seperti spesies lain, sekali gus menjadikannya lebih mesra alam dalam pengeluaran protein haiwan.

Menurutnya, Brazil kini menjadi contoh kejayaan apabila mencapai hampir satu juta tan metrik pengeluaran tilapia hitam setahun hasil penggunaan empangan hidroelektrik sebagai kawasan penternakan.

“Kami melihat Sarawak sebagai lokasi yang sangat berpotensi, dengan sumber air luas dan iklim stabil. Bekalan benih berkualiti tinggi menjadi kunci kepada industri yang mampan,” katanya.

Magne berkata tilapia yang diternak secara komersial boleh dituai dalam tempoh enam hingga tujuh bulan, menjadikannya antara spesies ikan yang paling cepat matang dan sesuai untuk pasaran besar seperti Singapura, China dan India.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU