KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Pusat Perubahan Iklim Sarawak, yang akan berfungsi sebagai hab berpusat untuk menyelaras, mengurus, menyokong dan membimbing semua perubahan iklim dan inisiatif perdagangan karbon di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan penubuhan pusat itu, Sarawak boleh meletakkan diri sebagai pemimpin dalam inisiatif perdagangan karbon dan perubahan iklim di rantau ini.
Pada masa sama, katanya menarik pelaburan dan bakat untuk memacu perkembangan ekonomi lestari.
“Pusat Perubahan Iklim Sarawak juga boleh menyokong pembangunan dasar dan peraturan yang menggalakkan amalan mampan termasuk tenaga boleh diperbaharui, tenaga kecekapan dan pengurusan perhutanan yang mampan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Karbon Asia 2023 di sini, hari ini.
Justeru, beliau berkata Sarawak memerlukan kepimpinan, kepakaran dan sumber untuk merealisasikan matlamat itu, bagi meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam perubahan iklim dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Tegasnya Sarawak komited untuk menangani isu mendesak mengenai perubahan iklim dan akan terus meneroka serta melaksanakan strategi inovatif untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, ekonomi dan masyarakat.