LAWAS: Sarawak merekodkan 68 kluster inap desa berdaftar termasuk tiga di Lawas iaitu Homestay Long Semadoh, Homestay Ba’ Kelalan dan Homestay Long Sukang, mencerminkan potensi pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini.
Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sarawak, Debbie Jenggut Nyelang berkata, rekod tersebut penting kerana kerajaan menyasarkan 1.6 juta pelancong memilih inap desa atau kampungstay sepanjang 2025, sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Tiga kluster inap desa di Lawas masing-masing melibatkan Homestay Long Semadoh dengan 17 peserta, Homestay Ba’ Kelalan dengan 24 peserta serta Homestay Long Sukang dengan 22 peserta,” katanya ketika berucap pada Program MOTAC Bersama Komuniti (PMBK) di sini, semalam.
Menurutnya, MOTAC mengambil beberapa inisiatif termasuk melaksanakan program akselerasi koperasi secara kolaborasi bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memperkukuh kapasiti pengusaha inap desa.
“Penubuhan koperasi ini bertujuan memudah cara pengusaha inap desa mendapatkan akses kepada pembiayaan kewangan melalui Tekun Nasional, Bank Rakyat dan agensi swasta berlesen di bawah Bank Negara Malaysia (BNM),” jelasnya.
Beliau berkata, MOTAC turut bekerjasama dengan Institut Kemajuan Desa dan Infrastruktur Luar Bandar (INFRA) bagi mengadakan kursus Refresher and Enriching yang membantu pengusaha inap desa memperkukuh urusan pendigitalan serta pengurusan pelancongan komuniti.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa Program MOTAC PMBK bertujuan meningkatkan kefahaman komuniti setempat tentang peranan serta tanggungjawab bersama dalam memajukan sektor pelancongan dan memelihara warisan budaya tempatan.
Jelasnya, pemilihan Lawas sebagai lokasi penganjuran program amat relevan memandangkan daerah tersebut mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan komuniti.
“Produk tempatan seperti beras Ba’ Kelalan, garam gunung serta hasil pertanian mempunyai nilai komersial dan daya tarikan tersendiri yang mampu memperkukuh sektor pelancongan daerah ini,” katanya.
Dalam hal berkaitan, program turut diserikan dengan sesi taklimat Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Tourism Malaysia Sarawak dan Program Pengalaman Homestay Malaysia oleh Pejabat MOTAC Negeri Sarawak yang mendedahkan tentang potensi pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini.




