ARTIKEL

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)

Sarawak Rekod Peningkatan Ketara Permohonan S-MM2H

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 121 permohonan melibatkan 217 pemohon diluluskan bagi Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) setakat Januari hingga April tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah pemohon dari China paling tinggi iaitu seramai 48 orang pemohon, diikuti Amerika Syarikat (15), United Kingdom (9), Singapura (8) dan Taiwan (7).

“Sejak kementerian saya menguruskan program ini pada 2020, kami merekodkan peningkatan ketara dalam jumlah permohonan yang diluluskan.

“Dari tahun 2020 hingga April 2026, sejumlah 2,191 permohonan diluluskan dan pencapaian ini jauh melebihi 1,240 permohonan yang diluluskan sebelum program ini diserahkan kepada kementerian iaitu antara tahun 2007 hingga 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa program ini menyumbang secara signifikan kepada hasil pendapatan Sarawak dengan menjana RM605,000 daripada yuran pemprosesan, manakala penempatan deposit tetap berjumlah RM60.5 juta.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa program S-MM2H menjana anggaran impak ekonomi keseluruhan berjumlah RM5.60 bilion dalam tempoh 2007 hingga 2025 berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kementerian.

“Antara sektor yang menerima manfaat ialah hartanah, pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan, makanan dan minuman, pengangkutan, insurans, sewaan dan hiburan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kuasa melesenkan syarikat S-MM2H diletakkan di bawah kementerian bermula awal 2025.

“Dari Januari 2025 hingga April tahun ini, sebanyak 23 lesen telah diluluskan. Pemerkasaan ini memperkukuh rangka kerja pelesenan dan membolehkan kementerian mengawal selia program dengan lebih berkesan,” katanya.

Abdul Karim turut menekankan bahawa kementerian kekal komited untuk memperkukuh pelaksanaan program S-MM2H sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan ketibaan pelawat dan menjana nilai ekonomi yang lebih besar.

Beliau turut menambah bahawa kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memperkukuh inisiatif promosi program berkenaan di peringkat global.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU